Sabtu, 22 Mei 2021 | 10:33am
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel (kiri) dan jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto ihsan Daily Express
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel (kiri) dan jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto ihsan Daily Express

Mengejutkan andai Chelsea atau Liverpool tercicir

KOLUM APA KATA EPL

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi musim 2020/2021 yang turut diselubungi dengan pandemik COVID-19, bakal menutup tirainya lewat malam esok dengan 10 perlawanan berlangsung serentak.

Bagi saingan ke-38 dan terakhir ini, dijadual bermula 11 malam, tumpuan pastinya terarah kepada perebutan dua lagi tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan yang membabitkan Chelsea, Liverpool dan Leicester.

Ini selepas kejuaraan liga sudah pun disahkan menjadi milik Manchester City manakala tempat kedua yang turut layak ke kejuaraan utama Eropah dimenangi Manchester United. Satu daripada tiga pasukan yang gagal layak, bakal ke saingan Liga Europa.

Selain itu, tiga pasukan tersingkir juga sudah diketahui iaitu Sheffiled, West Brom dan Fulham.

Malah dua kejuaraan domestik iaitu Piala FA juga dimenangi Leicester yang mengejutkan Chelsea 1-0 serta Piala Liga milik City selepas mengenepikan Tottenham 1-0.

Sehingga aksi ke-37 pada pertengahan mnggu, Chelsea berjaya menghimpun 67 mata manakala Liverpool (66) dan Leicester (66). Pada perlawanan esok, The Blues akan berkunjung ke Aston Villa.

Liverpool pula menanti kedatangan Crystal Palace dan Leicester menyambut Tottenham Hotspur.

Untuk layak, Chelsea dan Liverpool hanya perlu menang aksi terakhir ini, manakala Leicester sebaliknya berharap satu daripada dua pasukan ini tercicir mata iaitu sama ada seri atau tumpas sambil mereka turut perlu menang.

Berdasarkan kepada prestasi semasa, The Blues yang dibimbing Thomas Tuchel dan The Reds kendalian Jurgen Klopp, dijangka tiada masalah membenam lawan masing-masing dan sekali gus layak.

Tambahan lagi Villa tiada tekanan untuk menang kerana tempat ke-11 kekal milik mereka sama ada kalah atau menang. Palace mungkin hanya disemarakkan dengan semangat untuk menang sebagai hadiah perpisahan buat jurulatih mereka, Roy Hodgson yang bersara hujung musim.

Berbanding sebelumnya, peluang kelab-kelab Inggeris untuk layak ke Liga Juara-Juara musim ini agak unik. Ini selepas dua kelab EPL iaitu City dan Chelsea akan berentap di final manakala United pula bagi saingan Liga Europa menentang kelab Sepanyol, Villareal.

City dan Chelsea membuat perhitungan di Estadio do Dragao Porto, Portugal pada 30 Mei jam 3 pagi. Venue asalnya di Istanbul, Turki sebelum diubah disaat akhir. United pula akan berentap dengan Villareal di PGE Arena, Gdansk, Poland, 27 Mei 3 pagi.

Andai dua kelab Inggeris juara, maka syarat kelayakan bakal berubah termasuk kedua-dua pasukan akan layak ke saingan Liga Juara musim depan secara automatik atas tiket itu manakala tempat keempat liga mungkin ke saingan Liga Europa. Selamat menonton.

Ramalan minggu terakhir:

Leicester 3-1 Tottenham
Liverpool 3-0 C Palace
Aston Villa 1-2 Chelsea
Wolves 0-2 Man United
West Ham 2-1 Southampton
Sheffiled 0-2 Burnley
Fulham 1-2 Newcastle
Leeds 2-0 West Brom
Arsenal 3-2 Brighton
Man City 1-1 Everton

Berita Harian X