Sabtu, 15 Mei 2021 | 10:36am
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel (kiri) dan jurulatih Leicester City, Brendan Rodgers akan berentap pada final Piala FA Inggeris di Wembley tengah malam ini. - Foto ihsan The Irish Sun.
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel (kiri) dan jurulatih Leicester City, Brendan Rodgers akan berentap pada final Piala FA Inggeris di Wembley tengah malam ini. - Foto ihsan The Irish Sun.

Perhitungan Chelsea, Leicester jadi tumpuan

KOLUM APA KATA EPL

Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah hampir kemuncaknya dengan berbaki tiga lagi aksi bagi 16 pasukan. Dengan Manchester City sudah dinobatkan juara Rabu lalu, susulan kekalahan jirannya, Manchester United kepada Leicester, kini tumpuan merebut slot ke pentas Eropah.

Meskipun tewas 2-4 kepada Liverpool kelmarin, United yang menghuni tangga kedua sudah mengesahkan kedudukan empat teratas sekali gus layak ke Liga Juara-Juara selepas berkelebihan 10 mata ke atas seteru ketatnya itu yang kini menduduki tangga kelima.

Ini bermakna perebutan bagi dua slot lagi hanya membabitkan empat pasukan iaitu Leicester di tangga ketiga (66 mata), Chelsea (64), Liverpool (60) dan West Ham (58). Tottenham dan Everton yang masing-masing dengan 56 mata turut berpeluang, namun dilihat agak tipis.

Calon pilihan bagi slot dua terakhir ini iaitu Leicester dan Chelsea yang hanya berbaki dua aksi lagi, menariknya akan berentap dalam perlawanan ke-37 pada awal pagi Rabu ini, tiga hari selepas bertemu pada final Piala FA di Wembley.

Mana-mana pasukan muncul juara, peluang menang pertemuan kedua pasti cerah manakala tewas harus berdepan tekanan berat. Melihat kepada pencapaian semasa, skuad Thomas Tuchel menjadi pilihan untuk menang kedua-dua pertembungan ini.

The Foxes akan menyambut Tottenham pada aksi terakhir manakala The Blues bertandang ke Aston Villa. Liverpool pula melayan West Brom minggu ini, sebelum ke Burnley dan menyambut Crystal Palace di Anfield. West Ham bertemu Brighton, West Brom dan Southampton.

Tottenham pula bertemu Wolves dan Aston Villa selain Leicester manakala Everton berentap dengan Sheffield, Wolves dan Everton. Jika mampu memenangi ketiga-tiga baki aksi ini, satu daripada pasukan berpeluang ke Liga Europa andai Liverpool tewas satu daripada baki tiga aksi.

City yang sudah memenangi dua kejuaraan musim ini - Piala Liga dan EPL, bakal berdepan Newacastle minggu ini (kemungkinan sesi penyerahan trofi kejuaraan EPL berlangsung), selain bertemu Brighton dan The Toffees bagi melengkapan jadual musim ini.

Mereka dijadual bertemu Chelsea pada aksi final Liga Juara-Juara 30 Mei ini sekali gus baki aksi EPL harus menjadi pemanas badan dan memberi peluang pemain muda mereka turun beraksi. United yang layak ke final Liga Europa akan turun beraksi awal pagi Rabu ini, bertemu Fulham.

Sementara itu, Fulham sah menjadi pasukan terakhir tersingkir daripada EPL, menyertai

West Brom dan Sheffield yang tersingkir sebelum ini. Fulham menduduki tangga ke-18 dengan 27 mata, ketinggalan 10 mata di belakang Brighton di tempat ke-17 dengan berbaki tiga aksi.

Setakat ini, Norwich City selaku juara Kejuaraan Inggeris dan Watford di tangga kedua, sudah mengesahkan tempat naik ke EPL musim depan. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Newcastle 0-2 Man City

Burnley 1-2 Leeds

Southampton 2-0 Fulham

Brighton 2-3 West Ham

C Palace 1-3 Aston Villa

Tottenham 3-0 Wolves

West Brom 0-2 Liverpool

Everton 2-1 Sheffield

Berita Harian X