Rabu, 12 Mei 2021 | 9:07am
Manchester United berada di tangga ke-11 senarai kelab paling bernilai dikeluarkan Forbes. - Foto AFP
Manchester United berada di tangga ke-11 senarai kelab paling bernilai dikeluarkan Forbes. - Foto AFP

Lima kelab EPL dalam senarai Forbes

LONDON: Lima daripada enam kelab besar Liga Perdana Inggeris tersenarai dalam 50 pasukan sukan paling bernilai di dunia yang dikeluarkan oleh Forbes.

Senarai itu dikeluarkan beberapa minggu selepas cadangan mengadakan Liga Super Eropah berkubur susulan bantahan daripada komuniti bola sepak dunia.

Arsenal, Chelsea, Liverpool, Manchester City, Manchester United dan Tottenham antara 12 gergasi Eropah yang menandatangani kontrak menyertai liga kontroversi itu bulan lalu.

Ramai yang menganggap motif sebenar di sebalik penubuhan liga berkenaan adalah bagi menampung perbelanjaan besar kelab-kelab utama Eropah itu.

Namun berdasarkan senarai Forbes, mereka sebenarnya belum terdesak untuk mencari dana tambahan.

Lima daripada enam kelab Inggeris itu berada dalam senarai 50 teratas Forbes dan pada harga 13 bilion pound (RM75.72 bilion) keseluruhan.

Gergasi Sepanyol - Barcelona dan Real Madrid - yang masih berkeras menyertai liga haram itu - turut berada dalam kelompok atas senarai berkenaan dengan masing-masing bernilai 3.4 bilion pound (RM19.8 bilion).

Gergasi Jerman Bayern Munich yang enggan terbabit dalam penubuhan Liga Super Eropah, turut berada dalam kelompok 10 teratas pada nilai 3 bilion pound (RM17.47 bilion).

Man Utd (RM17.46 bilion), Liverpool (RM16.89 bilion) dan Man City (RM16.3 bilion) berada di tangga ke-11, 12 dan 13 senarai yang hanya menampilkan sembilan kelab bola sepak.

Chelsea berada di tangga ke-25 pada nilai 2.3 bilion pound (RM13.39 bilion), manakala Arsenal di tangga ke-38 (RM11.64 bilion).

Kelab bola sepak terakhir yang berada dalam senarai itu adalah Paris Saint-Germain yang menghuni tangga ke-43 (RM10.47 bilion).

Tottenham, Juventus, AC Milan, Inter Milan dan Atletico Madrid - baki kelab yang menyertai Liga Super Eropah - tidak berjaya menembusi kelompok 50 teratas senarai itu. - AGENSI

Berita Harian X