Isnin, 10 Mei 2021 | 10:29pm
Jaringan kontroversi yang dilakukan pemain KL City FC, Shukor Adan ketika mengikat UiTM FC pada aksi Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, Sabtu lalu.
Jaringan kontroversi yang dilakukan pemain KL City FC, Shukor Adan ketika mengikat UiTM FC pada aksi Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, Sabtu lalu.

Padah iktiraf gol tangan Shukor

KUALA LUMPUR: Kesemua pegawai perlawanan aksi Liga Super antara UiTM FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC, akan dikenakan tindakan sewajarnya susulan insiden gol 'hand of god' Muhammad Shukor Adan, pada aksi di Stadium UiTM, Shah Alam, Sabtu lalu.

Perlawanan itu diadili Mohd Shahrizan Mohamad Solihim bersama Mohd Zainudin Md Isa dan Hafizi Azmi sebagai pembantu pengadil, serta pegawai keempat Mohd Shahmi Ismail.

"Tindakan sewajarnya akan dikenakan kepada semua pegawai perlawanan bertugas pada perlawanan itu, kerana kealpaan dalam mengesan kesalahan memainkan bola dengan tangan, sehingga mengubah keputusan perlawanan," kata Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Datuk S Sivasundaram dalam kenyataan hari ini.

Sivasundaram berkata FAM melalui Jawatankuasa Penilaian Pengadil mendapati pengadil perlawanan gagal mengesan kesalahan memainkan bola dengan menggunakan tangan oleh Shukor, dan seterusnya mengesahkan jaringan tersebut.

Mohd Shukor yang merupakan bekas pemain kebangsaan, dilihat mengangkat tangan untuk menolak masuk bola ke gawang hasil sepakan percuma kapten pasukan Paulo Josue, sekali gus muncul wira KL City FC mengikat UiTM FC 1-1 pada masa kecederaan babak kedua perlawanan.

Sementara itu, Jawatankuasa Penilaian Pengadil FAM menjelaskan tindakan mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada pengadil, menyebabkan pemain Penang FC Anselmo Arruda da Silva yang dikenali sebagai Casagrande diperintah meninggalkan padang Sabtu lepas.

Kesalahan ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang itu menyebabkan beliau mengutip kad kuning kedua sekali gus dilayangkan kad merah.

Pada aksi sama yang menyaksikan Penang FC tewas julung kali di laman sendiri musim ini, Jawatankuasa Penilaian Pengadil FAM menjelaskan, ketua Jurulatih Penang FC Tomas Trucha turut diperintah keluar padang pada masa kecederaan separuh masa kedua kerana memasuki padang permainan dan membantah keputusan pengadil. - BERNAMA

Berita Harian X