Sabtu, 8 Mei 2021 | 10:22am
Pep Guardiola (kiri) dan Thomas Tuchel ketika aksi separuh akhir Piala FA Inggeris di Wembley, bulan lalu. - Foto AFP.
Pep Guardiola (kiri) dan Thomas Tuchel ketika aksi separuh akhir Piala FA Inggeris di Wembley, bulan lalu. - Foto AFP.

Stadium Etihad bakal bergegar malam ini

KOLUM APA KATA EPL

Manchester City akan menyambut kunjungan Chelsea tengah malam ini dengan kemenangan ke atas kelab London itu akan menobatkan skuad Pep Guardiola sebagai juara baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) lebih awal.

The Citizens hanya memerlukan tiga mata lagi untuk merampas gelaran itu daripada Liverpool tanpa perlu menunggu penghujung aksi selepas mendahului jirannya yang juga pencabar terdekat, Manchester United dengan berkelebihan 13 mata menerusi 34 perlawanan setakat ini.

Menariknya perlawanan di Etihad ini, kedua-dua pasukan adalah finalis Liga Juara-Juara musim ini dan akan membuat perhitungan di Istanbul, pada awal pagi 30 Mei ini. City mara selepas mengenepikan Paris Saint-Germain (PSG) manakala The Blues menyingkirkan Real Madrid.

City pastinya mahu memenangi aksi ini kerana ingin membuat persiapan lebih awal perlawanan akhir di Turki manakala Chelsea, menyasarkan untuk memastikan muncul empat pasukan terbaik bagi mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Skuad Thomas Tuchel ada pilihan layak secara automatik di saingan itu jika mampu menewaskan City pada aksi final hujung bulan ini. Sekiranya tidak, mereka perlu berentap dengan lagi Leicester City dan West Ham ataupun Tottenham dalam baki tiga aksi selepas ini.

Anak buah Guardiola sudah pun memenangi Piala Liga Ingggeris dan kini dalam buruan kejuaraan trebel. Mampukah mereka memenangi pertemuan di laman sendiri yang ibarat final awal Liga Juara-Juara itu? Ini yang menarik untuk disaksikan.

Dalam pada itu, United turut mengesahkan tempat ke final Liga Europa selepas mengatasi AS Roma dengan agregat 8-5 di Rom kelmarin. Pada aksi final di Gdansk, Poland awal pagi 27 Mei ini, Red Devils akan bertemu Villareal yang mengatasi Arsenal di London dengan agregat 2-1.

Minggu lalu, pasukan ini sepatutnya, bertemu Liverpool di Old Trafford, namun ditangguhkan kepada awal pagi 14 Mei ini, selepas berlaku demonstrasi bantahan terhadap keluarga Glazers yang juga pemilik kelab itu.

Minggu ini skuad Ole Gunnar Solskjaer akan bertandang ke Villa Park bertemu Aston Villa dengan kemenangan hampir pasti akan mengesahkan kedudukan mereka di tempat kedua liga musim ini. Jika United menjuarai Liga Europa, ia turut layak secara automatik Liga Juara-Juara.

Sementara itu, pasukan di tangga ke-18, Fulham dan West Brom (19) bakal tersingkir dari saingan EPL sekiranya tewas kepada Burnley dan Arsenal pada aksi minggu ini. Sebelum ini, Sheffield sudah tersingkir awal manakala juara baharu kejuaraan Inggeris, Norwich City dan Watford (naib juara) mengesahkan kembali ke EPL musim depan. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Leicester 3-2 Newcastle

Leeds 1-1 Tottenham

Sheffield 2-2 C Palace

Man City 2-1 Chelsea

Liverpool 1-1 Southampton

Wolves 2-1 Brighton

Aston Villa 0-2 Man United

West Ham 1-1 Everton

Arsenal 3-0 West Brom

Fulham 2-2 Burnley

Berita Harian X