Sabtu, 8 Mei 2021 | 12:26am
Penyerang Sarawak United FC, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) cuba melepasi pemain Kelantan United FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. - Foto ihsan Facebook Sarawak United FC.
Penyerang Sarawak United FC, Norshahrul Idlan Talaha (kiri) cuba melepasi pemain Kelantan United FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. - Foto ihsan Facebook Sarawak United FC.

Sarawak United rampas tahkta Liga Perdana

KUALA TERENGGANU: Sarawak United FC terpaksa bermandi peluh sebelum melakar kemenangan 3-2 menumpaskan Kelantan United FC (KUFC) pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu skuad Kenyalang Emas merampas kedudukan teratas liga daripada Negeri Sembilan FC.

Dalam perlawanan itu, skuad bimbingan E Elavarasan terlebih dahulu mendapat peluang baik di depan menerusi sepakan penalti Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-14, selepas Nur Shamie Iszuan Amin dijatuhkan Muhamad Juzaerul Jasmi.

Namun sepakan bekas penyerang skuad kebangsaan itu terkena tiang sebelah kanan pintu gol lawan sekali gus melegakan penjaga gawang, Mohamad Fikri Che Soh.

Sarawak yang mendominasi permainan mempunyai tiga lagi peluang terbaik untuk mendahului menerusi percubaan Christie Jayaseelan pada minit ke-24, Norshahrul minit ke-28 dan Lee Chang Hoon pada minit ke-35, namun buntu.

Bagaimanapun penantian Sarawak untuk memburu gol akhirnya menjelma menerusi rembatan leret Jayaseelan pada minit ke-45 hasil umpanan Chang Hoon untuk mendahului 1-0. Sepanjang babak pertama, skuad KUFC kendalian Akira Higashiyama tidak banyak melakukan percubaan.

Bersambung babak kedua, KUFC tampil lebih agresif dan bertenaga dengan perubahan taktikal permainan terutama selepas melakukan dua pertukaran pemain.

Usaha berterusan skuad itu untuk menyamakan kedudukan akhirnya berhasil pada minit ke-58 menerusi rembatan kencang kapten yang juga bekas pemain skuad kebangsaan Jepun, Masashi Motoyama.

Selepas jaringan itu, KUFC berjaya menambah jaringan kedua menerusi lambungan pemain gantian, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi pada minit ke-68. Jaringan itu berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Tiga minit berselang, Sarawak United berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Norshahrul hasil sepakan percuma Chang Hoon. Pada minit ke-80 pemain gantian, Abdul Rahim Abdul Razak menceriakan kem pasukannya apabila mudah menolak masuk gol hasil umpanan Norshahrul untuk menjadikan kedudukan 3-2. Keputusan kekal hingga tamat perlawanan.

Berita Harian X