Khamis, 6 Mei 2021 | 10:55pm
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam (kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah AFL, Datuk Adly Shah Ahmad Tah pada sesi cabutan undi dan majlis menandatangani perjanjian penajaan AFL-Extra Joss di sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam. Hadir sama Ketua Perwakilan Kalbe Malaysia Sdn Bhd, Asep Dasuki (kiri). - Foto BERNAMA
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam (kanan) bersama Ahli Lembaga Pengarah AFL, Datuk Adly Shah Ahmad Tah pada sesi cabutan undi dan majlis menandatangani perjanjian penajaan AFL-Extra Joss di sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam. Hadir sama Ketua Perwakilan Kalbe Malaysia Sdn Bhd, Asep Dasuki (kiri). - Foto BERNAMA

FAM minta AFC tentukan nasib Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyerahkan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk membuat keputusan terbaik mengenai tindakan Korea Utara yang dilaporkan mahu menarik diri dari kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan sekiranya perkembangan itu benar, ia mungkin akan turut memberi kesan negatif kepada peluang skuad Harimau Malaya walaupun pasukan itu tidak berada dalam kumpulan sama.

"Saya rasa lebih wajar AFC membuat keputusan terakhir mengenai kedudukan Korea Utara, pengiraan slot pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia atau Piala Asia yang akan memberi impak kepada pasukan kebangsaan.

"Pada masa ini, kita tahu jika Korea Utara menarik diri ia akan memberi impak negatif sedikit kepada pasukan kebangsaan di mana (baki) ketiga-tiga perlawanan (Harimau Malaya) menjadi lebih penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis undian Liga M3 2021 dan pemeteraian perjanjian penajaan antara Liga Amatur Malaysia (AFL) dengan syarikat minuman tenaga terkenal dari Indonesia, Extra Joss, semalam.

Sekiranya Korea Utara disahkan tarik diri, semua keputusan perlawanan menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan berkemungkinan besar tidak akan dikira.

Jika ia benar berlaku, berdasarkan kedudukan semasa dalam kumpulan G, dua kemenangan Malaysia ke atas Indonesia tidak dikira namun skuad Harimau Malaya tetap berpeluang mendapat slot automatik ke Piala Asia 2023 dan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 melalui kedudukan tempat kedua terbaik.

Korea Utara kini menghuni kedudukan keempat dalam Kumpulan H dan difahamkan hasrat mereka menarik diri dilakukan kerana bimbang keselamatan pemain akibat COVID-19.

Bagaimanapun anak buah Tan Cheng Hoe perlu bekerja keras dan meraih keputusan positif dalam baki tiga perlawanan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.

Mengulas lanjut, Stuart tetap yakin berita penarikan diri dan tugas getir yang terpaksa diharungi tidak menjejaskan kem skuad Harimau Malaya.

"Saya rasa pasukan kebangsaan memang bersedia untuk turun ke padang dan memenangi semua perlawanan. Jadi tidak akan mengubah semangat, sasaran dan objektif dalam pasukan," katanya.

Berita Harian X