Khamis, 6 Mei 2021 | 7:17am
Ketua jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel memeluk pertahanan Andreas Christensen selepas kemenangan mengatasi Real Madrid di Stamford Bridge, London. - AFP
Ketua jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel memeluk pertahanan Andreas Christensen selepas kemenangan mengatasi Real Madrid di Stamford Bridge, London. - AFP

Tuchel puji persembahan menakjubkan Blues

LONDON: Thomas Tuchel memuji bintang "menakjubkan" Chelsea ketika mereka mara ke final Liga Juara-Juara dengan kemenangan 2-0 mengatasi Real Madrid sebentar tadi.

Jaringan Timo Werner dan Mason Mount menempah tiket ke final Liga Juara-Juara sejak mereka menang kejohanan itu pada 2012.

Skuad kendalian Tuchel akan berdepan pencabar sama dari Liga Perdana, Manchester City di Istanbul pada 29 Mei.

Sememangnya Chelsea berhak menang 3-1 secara agregat ketika mereka menampilkan persembahan baik pada separuh akhir kedua di Stamford Bridge, mematahkan serangan Real dengan kerapkali melakukan serangan balas pantas.

Mereka boleh dengan mudah menang lebih selesa dan bos Blues, Tuchel kagum dengan persembahan ditunjukkan.

"Ia sukar pada babak pertama apabila mereka banyak mengawal bola dan membuatkan kami menderita," kata Tuchel.

"Kami merbahaya ketika serangan balas pantas tapi tidak pernah hilang keinginan untuk bertahan.

"Ia persembahan menakjubkan pada babak kedua dan kami boleh menjaringkan gol lebih awal untuk selamat.

"Ia pencapaian menakjubkan dan ucapan tahniah buat pasukan."

Chelsea akan berdepan City dalam saingan Liga Perdana tengah malam Sabtu ini dan Tuchel tidak mahu melihat lebih daripada itu.

"Tanya saya empat hari sebelum final," katanya mengenai peluang Chelsea di Turki.

"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai final kerana mungkin pemain boleh cedera, prestasi menurun atau apa sahaja boleh berlaku.

"Kita perlu menunggu dan lihat, saya harap kami tiba dengan keseluruhan skuad dan dalam keadaan yang bagus, kerana ia belum berakhir.

"Kami mahu meneruskannya hingga penamat, dan ia bermakna tiba di Istanbul untuk menang." - AFP

Berita Harian X