Khamis, 6 Mei 2021 | 12:29am
PEMAIN Sri Pahang FC, Manuel Hildago (belakang) menjaringkan gol ketika menentang pasukan Selangor FC, pada saingan Liga Super 2021, di Stadium Darul Makmur. - FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
PEMAIN Sri Pahang FC, Manuel Hildago (belakang) menjaringkan gol ketika menentang pasukan Selangor FC, pada saingan Liga Super 2021, di Stadium Darul Makmur. - FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Abdul Malik selamatkan Sri Pahang

KUANTAN: Penyerang Sri Pahang FC, Abdul Malik Mat Ariff muncul penyelamat skuad Tok Gajah apabila jaringan pada minit akhir perlawanan berjaya mengikat Selangor FC 2-2 di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, tuan rumah menyenaraikan tiga pemain import baharu, Abubakar Yakubu, Manuel Hidalgo dan Athiu Kenjok sebaik jendela perpindahan dibuka Isnin lalu.

Kehadiran tiga pemain import itu menyaksikan perubahan terutama di bahagian serangan dan tengah.

Namun, Selangor yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Sri Pahang pada pusingan pertama Liga Super terlebih dahulu memberi ancaman apabila Ahmad Danial Ahmad Asri hampir menjaringkan gol pendahuluan tetapi bola terkena palang gol pada minit ke-23.

Dua minit kemudian, perlawanan terhenti kira-kira 10 minit apabila satu daripada empat lampu limpah terpadam.

Sebaik perlawanan bersambung, peluang terbaik tuan rumah pula hadir menerusi sepakan percuma pemain import baharu dari Argentina, Hidalgo tetapi bola terkena palang pada minit ke-31.

Tiga minit bersambung babak kedua, Hidalgo menceriakan pasukan itu apabila menjaringkan gol pendahuluan selepas menewaskan penjaga gol Selangor, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid.

Pada minit ke-76, penyerang lawan, Hein Htet Aung menyamakan kedudukan 1-1 selepas Helmi Eliza Elias gagal menyelamat gawang daripada dibolosi.

Penyerang berbisa Selangor, Ifedayo Olusegun kemudian meledak gol kedua buat skuadnya tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Selepas itu, pemain pertahanan Selangor, Shahril Nazeem Zulpakar dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Suhaimi Mat Hassan selepas mengutip dua kad kuning.

Pada minit akhir perlawanan, Abdul Malik muncul penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan 2-2 untuk memastikan Sri Pahang mencatat keputusan seri.

Berita Harian X