Sabtu, 1 Mei 2021 | 10:32pm
Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) cuba menghalang kemaraan pemain Melaka United FC, Alex Dos Santos Goncalves (tengah) dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat semalam. Melaka tewas 1-3. - Foto BERNAMA.
Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) cuba menghalang kemaraan pemain Melaka United FC, Alex Dos Santos Goncalves (tengah) dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat semalam. Melaka tewas 1-3. - Foto BERNAMA.

Zainal Abidin berang anak buah alpa

MELAKA: Jurulatih Melaka United FC (MUFC), Zainal Abidin Hassan berang dengan kealpaan anak buahnya yang jelas menjadi punca mereka tewas 1-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat di sini, malam tadi.

Menurutnya, dia sudah berkali-kali mengingatkan skuad Hang Tuah supaya tidak leka dan mengelak melakukan kesilapan pada aksi berkenaan terutama selepas pasukannya mengikat kedudukan 1-1 pada 45 minit pertama.

"Pada separuh masa pertama, selepas ketinggalan mereka bangkit untuk menyamakan kedudukan dan masih mendominasi permainan, tetapi apabila melihat kembali gol-gol yang dilepaskan pada separuh masa kedua, ia akibat kesilapan mudah.

"Pemain berjaya menujukkan keyakinan tinggi pada separuh masa pertama dan 20 minit babak kedua walaupun beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan dan digantung perlawanan.

"Apa pun, saya mahu pemain pasukan ini mengambil satu semangat baharu untuk bangkit pada perlawanan seterusnya dan memperbaiki kesilapan," katanya sambil mengakui selagi diberi kepercayaan terus berusaha memperbaiki pencapaian pasukan,

Gol kemenangan Kedah malam tadi diperoleh menerusi menerusi Kpah Sherman pada minit ke-18 dan minit ke-59 serta Baddrol Bakhtiar (minit 86) manakala jaringan tuan rumah menerusi

Stefan Nikolic pada minit ke-37 menerusi sepakan penalti.

Sementara itu, jurulatih KDA, Aidil Sharin Sahak melahirkan gembira dan berpuas hati dengan dengan kejayaan anak buahnya meraih mata penuh di Stadium Hang Jebat selepas berdepan saingan sengit.

Katanya, perubahan dalam pemain selepas ketiadaan dua tonggak jelas tidak menjejaskan persembahan mereka terutama pada babak kedua apabila bangkit untuk mencatat kemenangan.

Berita Harian X