Sabtu, 1 Mei 2021 | 10:41am
Tiga kelab gergasi EPL (dari kiri) Liverpool, Manchester United dan Manchester City.
Tiga kelab gergasi EPL (dari kiri) Liverpool, Manchester United dan Manchester City.

Adakah Liverpool akan ceriakan The Citizens?

KOLUM APA KATA EPL

Manchester City menceriakan penyokong mereka minggu lalu, apabila merangkul Piala Liga - kejuaraan pertama daripada tiga yang menjadi sasaran musim ini. Kegembiraan itu bertambah lagi apabila mereka mengatasi Paris Saint-Germain 2-1 pada separuh akhir Liga Juara-Juara.

Skuad Pep Guardiola kini hanya dipisahkan satu lagi perlawanan untuk bergelar juara Eropah sekiranya mampu mengenepikan kelab gergasi Perancis itu pada separuh akhir kedua di Etihad minggu depan. Mereka bakal berdepan sama ada Chelsea atau Real Madrid di final.

Dan tentunya, kegirangan penyokong The Citizens bakal berterusan lagi esok, sekiranya Liverpool berupaya mengejutkan pasukan tangga kedua, Manchester United bagi membolehkan City dinobatkan lebih awal sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

City kian hampir bergelar juara apabila berkelebihan 10 mata di puncak liga dengan lima baki aksi selepas menghimpun 77 mata. Kemenangan ke atas Crystal Palace malam ini akan memastikan kelebihan ke atas United bertambah kepada 13 sekali gus tidak mampu digugat lagi.

Soalnya, mampukah skuad Jurgen Klopp 'berbudi' kepada City dengan membenam anak buah Ole Gunnar Solskjaer lewat malam esok? Sebagaimana ramai tahu, perlawanan Liverpool-United selalunya sengit dan dinantikan penyokong kedua-dua pasukan setiap musim.

United menanti juara bertahan itu dengan rekod baik dalam saingan EPL selain mara ke separuh akhir Liga Europa. Red Devils membelasah AS Roma 6-2 di peringkat separuh akhir pertama, kelmarin. Cuma minggu lalu mereka terikat 0-0 menentang Leeds.

Liverpool yang sudah pun terlepas kejuaraan liga selepas 30 tahun memburunya, terikat 1-1 dengan Newcastle minggu lalu, kini mengharap untuk muncul empat teratas bagi layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

The Reds kini ditangga keenam liga dengan himpunan 54 mata, ketinggalan empat mata di belakang Chelsea yang menghui tangga keempat manakala lapan mata di belakang Leicester yang di kedudukan ketiga serta 13 mata di belakang United.

Rekod lalu dalam saingan EPL menunjukkan, United hanya menang sekali dalam sembilan pertemuan (seri 6 kalah 2), namun anak buah Solskjaer hanya tewas sekali kepada Liverpool dalam 15 aksi terakhir di Old Trafford (menang 10 seri 4).

Apapun keputusan malam esok, City tetap akan menjadi juara baharu EPL. Hanya waktu memisahkan mereka dengan kejuaraan manakala United berada di landasan selesa untuk kekal di tangga kedua dan layak ke pentas Eropah.

Begitu juga, Leicester dan Chelsea yang dijangka tiada masalah memenangi aksi masing-masing minggu ini. The Foxes bertandang ke Southampton manakala The Blues menyambut kunjungan Fulham.

Sementara itu, Sheffield sah tersingkir dari EPL minggu lalu selepas kekal di tangga tercorot dengan West Brom dan Fulham dijangka mengiringi mereka manakala Norwich City kembali ke saingan utama selepas hampir pasti menjuarai Liga Kejuaraan Inggeris. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Southampton 1-1 Leicester

C Palace 1-4 Man City

Brighton 1-3 Leeds

Chelsea 3-0 Fulham

Everton 2-2 Aston Villa

Newcastle 1-2 Arsenal

Man United 2-1 Liverpool

Tottenham 4-0 Sheffield

West Brom 2-2 Wolves

Burnley 1-1 West Ham

Berita Harian X