Sabtu, 1 Mei 2021 | 12:30am
Aksi antara Melaka United FC (jersi hijau) dan Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat malam tadi. Melaka tewas 1-3. - Foto NSTP/Shafeeq Ahmad.
Aksi antara Melaka United FC (jersi hijau) dan Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat malam tadi. Melaka tewas 1-3. - Foto NSTP/Shafeeq Ahmad.

Kedah benam Melaka United

MELAKA: Kedah Darul Aman (KDA) FC terus cemerlang apabila menundukkan Melaka United FC (MUFC) 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, malam tadi.

Dalam aksi itu, pelawat terlebih dulu berada di depan menerusi pemain import, Kpah Sherman yang berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-17 selepas bola terkena tangan Jang Suk Won.

MUFC cuba bangkit selepas itu dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Stefan Nikolic pada minit ke-37 selepas Renan Alves menjatuhkan Manuel Ott ketika pemain tuan rumah hanya berdepan penjaga gol, Shahril Saari.

Bersambung babak kedua, menyaksikan usaha lebih agresif tuan rumah untuk membolosi gawang pelawat namun percubaan Nikolic pada minit ke-49 tersasar, sebelum dituruti tandukan

Suk Won yang sekadar mengeggar tiang gol KDA.

Sherman kemudian berjaya memperoleh gol kedua pasukannya pada minit ke-62, apabila mudah menolak masuk hantaran Tchetche Kipre bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Pelawat terus memperkukuh kedudukan apabila Baddrol Bakhtiar merembat kencang gol ketiga pada minit ke-86. Kedudukan kekal 3-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Berita Harian X