Rabu, 28 April 2021 | 2:26pm
Kipré Tchétché meraikan jaringannya ketika Kedah bangkit menewaskan KL City 3-2.
Kipré Tchétché meraikan jaringannya ketika Kedah bangkit menewaskan KL City 3-2.

Kedah 'raja kebangkitan semula'

KUALA LUMPUR: Selepas 10 perlawanan Liga Super berlangsung, Kedah Darul Aman (KDA) FC layak dinobatkan sebagai 'raja kebangkitan semula' sekalipun sekadar menghuni kedudukan ketiga ketika ini.

Ini kerana skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu berjaya bangkit dalam lima perlawanan selepas ketinggalan terlebih dahulu untuk menafikan hasrat pasukan lawan daripada meraih mata penuh.

Malah berdasarkan statistik, mereka jelas menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila menang tiga daripada lima perlawanan terbabit sekali gus mengutip mata berharga dalam misi mereka mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Kebangkitan paling hebat mereka sudah tentulah ketika bertemu KL City yang menyaksikan mereka meledak dua gol pada masa tambahan sekalipun ketinggalan 2-1 hanya ketika saingan berbaki 15 minit lagi untuk meraih kemenangan 3-2.

Mereka juga terlebih dahulu ketinggalan di tangan Selangor (SFC) pada babak pertama sebelum jaringan Kpah Sherman dan Tchetche Kipre dalam 15 minit terakhir membolehkan mereka merakam kemenangan 2-1.

Begitu juga ketika mereka dikejutkan pasukan dibarisi pemain tempatan, PJ City pada aksi di laman sendiri, mereka 'garang' babak kedua apabila meledak tiga gol sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan 3-1.

Selain Kedah, 'jiran' mereka, Penang FC juga tidak kurang hebatnya apabila bangkit dalam tiga perlawanan dan situasi itu jelas membantu mereka untuk menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan teratas liga.

Mereka 'mengejar' satu gol di belakang Perak sebelum bangkit untuk meraih kemenangan 2-1, sementara dua lagi aksi ketika bertemu Sabah dan PJ City menyaksikan mereka berjaya menamatkan 90 minit perlawanan dengan keputusan 1-1.

Selain itu, beberapa pasukan lain turut memperagakan semangat tidak berputus asa antaranya Terengganu FC (TFC) dan Melaka United yang berjaya bangkit sekalipun ketinggalan dalam dua perlawanan setakat ini.

Skuad Penyu mencetuskan kebangkitan dalam dua perlawanan yang menyaksikan mereka menang kedua-dua aksi iaitu ketika menentang UiTM (2-1) dan Kedah (2-1) sementara Melaka pula bangkit mengikat Sabah 1-1 dan PJ City (2-2).

Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pula membuktikan mengapa mereka bergelar juara Liga Super sebanyak tujuh kali berturut-turut apabila bangkit mengikat The Bos Gaurus 2-2 selepas ketinggalan 2-0 pada aksi di Ipoh.

Berita Harian X