Sabtu, 24 April 2021 | 10:23am
Aksi Chelsea (jersi biru) dan West Ham dalam saingan EPL di Stamford Bridge pada Disember lalu. - Foto AFP.
Aksi Chelsea (jersi biru) dan West Ham dalam saingan EPL di Stamford Bridge pada Disember lalu. - Foto AFP.

EPL kian panas, selamat tinggal Mourinho

KOLUM APA KATA EPL

Kekecohan yang timbul daripada cadangan penubuhan Liga Super Eropah (ESL) sejak Ahad lalu, jelas tidak menjejaskan motivasi Manchester City untuk menjinakkan Aston Villa pada pertengahan minggu dan sekaligus menghampiri gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kemenangan 2-1 di Villa Park itu membolehkan skuad Pep Guardiola mengumpulkan 77 mata selepas 33 perlawanan dan berkelebihan 11 mata ke atas jiran mereka, Manchester United di tempat kedua yang menghimpun 66 mata menerusi 32 aksi.

City yang tidak beraksi minggu ini kerana akan berentap dengan Tottenham Hotspur pada final Piala Liga di Wembley malam esok, kini hanya perlu memenangi tiga daripada lima baki aksi untuk bergelar juara, seandainya United menewaskan Leeds malam esok.

Sekiranya Red Devils tewas atau seri, seharusnya kejuaraan itu akan diraih lebih awal. Menanti lima aksi City selepas ini adalah bertemu Crystal Palace (1 Mei), Chelsea (9 Mei), Newcastle (13 Mei), Brighton (15 Mei) dan Everton (23 Mei).

Minggu lalu, skuad Pep Guardiola tersingkir pada aksi separuh akhir Piala FA di tangan Chelsea, sekali gus menyaksikan terpaksa melupakan impian merangkul empat kejuaraan musim ini. Selain EPL dan Piala Liga, City kini di landasan untuk memenangi Liga Juara-Juara.

Dalam pada itu, impak cadangan penubuhan ESL yang diterajui Real Madrid turut menggoncang EPL kerana daripada 12 kelab yang menyertainya enam membabitkan kelab dari liga berkenaan iaitu Liverpool, Arsenal, Tottenham, Chelsea, United dan City.

Namun bantahan luar biasa daripada pelbagai pihak terutama penyokong, kemudian menyaksikan enam kelab terbabit menarik diri. Projek itu kini tergantung selepas dua kelab Itali iaitu Inter Milan dan AC Milan serta Atletico Madrid (Sepanyol) turut menarik diri.

Selain ESL, saingan EPL minggu ini turut dikejutkan dengan pemecatan 'The Special One', Jose Mourinho sebagai pengendali Tottenham selepas bersama selama 17 bulan, susulan masalah prestasi yang menyukarkan kelab London itu layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward turut mencuri tumpuan apabila secara tiba-tiba bakal meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini, gara-gara dikatakan terbabit dengan penubuhan ESL.

Kembali kepada saingan perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim ini, Chelsea berdepan ujian besar tengah malam ini apabila bertandang ke West Ham. Ketika ini The Blues di tangga keempat manakala West Ham kelima dengan kedua-duanya menghimpun 55 mata.

Juara bertahan, Liverpool yang menduduki tangga ketujuh dengan 53 mata dan masih menaruh harapan ke Liga Juara-Juara melayan kunjungan Newcastle awal malam ini tatkala Leicester yang berada di tempat ketiga, bertemu Crystal Palace. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Arsenal 2-1 Everton

Liverpool 2-0 Newcastle

West Ham 2-3 Chelsea

Sheffield 0-2 Brighton

Wolves 1-1 Burnley

Leeds 1-3 Man United

Aston Villa 2-1 West Brom

Leicester 2-0 C Palace

Berita Harian X