Rabu, 21 April 2021 | 7:19am
Penyokong Chelsea mengadakan demonstrasi membantah cadangan penganjuran Liga Super Eropah (ESL) di luar Stadium Stamford Brigde, London sebelum aksi EPL antara The Blues dan Brighton. - Foto EPA.
Penyokong Chelsea mengadakan demonstrasi membantah cadangan penganjuran Liga Super Eropah (ESL) di luar Stadium Stamford Brigde, London sebelum aksi EPL antara The Blues dan Brighton. - Foto EPA.

5 gergasi EPL tarik diri daripada ESL

LONDON: Manchester United, Liverpool, Arsenal dan Tottenham menyertai Manchester City menarik diri daripada cadangan Liga Super Eropah (ESL) sebentar tadi, ketika perancangan kontroversi itu musnah selepas menerima tentangan serius.

Chelsea dilaporkan bersedia mengikut langkah berkenaan dan meninggalkan hanya enam pasukan iaitu Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, AC Milan, Inter Milan dan Juventus bagi projek berkenaan.

Reaksi terhadap perancangan itu semakin meningkat dengan ahli politik dan pihak berkuasa bola sepak mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berdepan pasukan digelar "sedozen kelab kotor" yang diberitahu mereka bakal berdepan penggantungan daripada kejohanan domestik dan benua.

"Manchester United tidak akan menyertaii Liga Super Eropah," kata juara England 20 kali itu dalam satu kenyataan.

"Kami mendengar dengan berhati-hati reaksi penyokong kami, kerajaan UK dan pemegang taruh yang lain.

"Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam komuniti bola sepak bagi mencari penyelesaian jangka panjang daripada cabaran diterima dalam permainan ini."

Dalam satu kenyataan, Liverpool berkata: "Kelab Bolasepak Liverpool mengesahkan bahawa pembabitan kami dalam cadangan membentuk Liga Super Eropah tidak akan diteruskan.

"Dalam beberapa hari ini, kelab menerima kehadiran pelbagai pihak berkepentingan, secara dalaman dan luaran dan kami mahu mengucapkan terima kasih kerana sumbangan berharga mereka."

Arsenal turut memohon maaf kepada penyokong mereka kerana tersalah tafsir ketika menandatangani cadangan berkenaan.

"Bukanlah niat kami mencipta kekalutan seperti itu. Bagaimanapun apabila jemputan menyertai Liga Super hadir sambil menyedari tiada jaminan mengenainya, kami tidak mahu ketinggalan bagi memastikan kami dapat melindungi Arsenal dan masa depannya," kata Gunners dalam satu kenyataan.

"Disebabkan kami mendengar apa yang anda mahukan dan apa dimahukan komuniti bola sepak lebih luas sejak beberapa hari lalu, kami menarik diri daripada Liga Super. Kami membuat kesilapan, dan kami memohon maaf."

- AFP

Berita Harian X