Selasa, 20 April 2021 | 9:54pm
Presiden FIFA, Gianni Infantino berucap pada Kongres UEFA di Montreux.
Presiden FIFA, Gianni Infantino berucap pada Kongres UEFA di Montreux.

FIFA layang 'kad kuning' kepada kelab ESL

MONTREUX: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino memberi amaran kepada kelab yang terbabit dalam saingan Liga Super Eropah (ESL) bahawa mereka akan menerima 'akibat' daripada tindakan itu.

Kenyataannya itu hadir sebagai reaksi balasnya dan untuk memberikan sokongan kepada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang sedang berusaha untuk menghentikan inisiatif yang mengancam Liga Juara-Juara dan menjejaskan pertandingan domestik seperti Liga Perdana Inggeris.

"Tugas kami untuk melindungi model sukan ini di Eropah. Jika ada yang mahu membuat keputusan sendiri, maka mereka perlu terima akibatnya," kata Infantino ketika berucap pada Kongres UEFA di sini.

Sebanyak 12 kelab gergasi benua itu sudah menyatakan persetujuan menyertai kejohanan berkenaan sekali gus akan mengubah landskap sukan paling popular di dunia itu.

"Kami tidak akan bersetuju dengan pembentukan Liga Super yang bertentangan dengan situasi semasa iaitu liga, persatuan, UEFA dan FIFA.

"Jelas sekali Fifa tidak akan bersetuju dengan cadangan ini," tambah Infantino.

Liverpool, Arsenal, Chelsea, Manchester City, Manchester United dan Tottenham Hotspur adalah enam kelab utama England yang sudah bersetuju menyertai saingan itu.

Turut mengesahkan penyertaan ialah tiga gergasi La Liga iaitu Barcelona, Atletico Madrid dan Real Madrid dan Juventus, AC Milan dan Inter Milan dari Serie A juga sudah berbuat demikian.

UEFA menegaskan pasukan terbabit akan dilarang untuk menyertai saingan domestik dan kejohanan Eropah lain termasuklah Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun Presiden Real Madrid, Florentino Perez yang mengetuai saingan ESL menegaskan perkara itu mustahil akan berlaku. - AFP

Berita Harian X