Selasa, 20 April 2021 | 8:13am
 Gambar fail - Penyokong Juventus memberikan sokongan padu kepada kelab mereka pada aksi Serie A Itali sebelum penularan COVID-19. - Foto AFP.
Gambar fail - Penyokong Juventus memberikan sokongan padu kepada kelab mereka pada aksi Serie A Itali sebelum penularan COVID-19. - Foto AFP.

Harga saham Juventus, United melonjak susulan penyertaan ESL

Rom: Saham Juventus dan Manchester United melonjak semalam selepas pengumuman kedua-dua kelab berkenaan menyertai Liga Super Eropah (ESL) bersama dengan 10 pasukan gergasi lain.

Harga saham kelab Itali itu di Bursa Milan ditutup pada 0.91 euro, melonjak hampir 18 peratus selepas mencatat kejatuhan susulan penyingkiran daripada saingan Liga Juara-Juara pada Mac lalu.

United yang disenaraikan di Bursa New York pula mengalami kenaikan sebanyak 9.7 peratus pada sesi niaga di Amerika Syarikat jam 4.25 petang waktu tempatan.

Beberapa hari lalu, kedua-dua kelab berkenaan mengesahkan penyertaan dalam saingan liga baharu itu bersama dengan kelab dari Itali, Sepanyol dan England.

Inter Milan, AC Milan, Liverpool, Arsenal, Chelsea, Manchester City, Tottenham, Barcelona, Real Madrid dan Atletico Madrid turut menandantangani rancangan itu yang menimbulkan kritikan pelbagai termasuk pihak berkuasa bola sepak dan peminat.

- AFP

Berita Harian X