Selasa, 20 April 2021 | 7:17am
Aksi pemain Liverpool, James Milner (kanan) ketika perlawanan EPL menentang Leeds di Stadium Elland Road. Milner menentang penubuhan ESL. - Foto EPA.
Aksi pemain Liverpool, James Milner (kanan) ketika perlawanan EPL menentang Leeds di Stadium Elland Road. Milner menentang penubuhan ESL. - Foto EPA.

Milner menentang penganjuran ESL

LEEDS, United Kingdom: Pemain tengah Liverpool, James Milner berharap Liga Super Eropah (ESL) tidak akan terjadi walaupun kelabnya menjadi satu daripada 12 pasukan yang akan menandatangani perjanjian untuk melakukan perpisahan itu.

Juara England itu bergabung dengan pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) lain seperti Manchester United, Manchester City, Chelsea, Tottenham dan Arsenal bagi menyertai kejohanan membabitkan 20 pasukan itu.

Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, Juventus, AC Mil an dan Inter Milan adalah antara pasukan lain yang mencadangkan kejohanan berkenaan.

Bagaimanapun bercakap selepas Liverpool terikat 1-1 di sini dalam saingan EPL, Milner menyertai kerajaan, pihak berkuasa, peminat dan pemain lain yang mengkritik cadangan berkenaan.

"Ada banyak persoalan. Saya hanya boleh katakan pendapat peribadi, saya tidak menyukainya dan saya harap ia tidak menjadi kenyataan," kata Milner.

Penyokong kedua-dua kelab melakukan protes di luar Stadium Elland Road sebelum sepak mula dengan perancangan itu dikritik sebagai usaha pemilik kelab membuat lebih banyak wang.

"Untuk sebab yang sama semua orang bercakap mengenainya," kata Milner mengenai kenapa dia tidak bersetuju dengan cadangan itu.

"Ia sesuatu yang sukar. Kami ada perlawanan yang perlu dibuat persiapan, tapi saya hanya boleh bayangkan apa yang diperkatakan dan bersetuju dengan sebahagian besar daripadanya."

- AFP

Berita Harian X