Isnin, 19 April 2021 | 10:33pm
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) merupakan individu pertama daripada badan induk sukan berkenaan yang menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 disusuli ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe (kanan) dan ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Razak (kiri) di Putrajaya hari ini. - FOTO BERNAMA
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) merupakan individu pertama daripada badan induk sukan berkenaan yang menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 disusuli ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe (kanan) dan ketua pasukan, Aidil Zafuan Abd Razak (kiri) di Putrajaya hari ini. - FOTO BERNAMA

38 pemain rebut tempat ke UAE

PUTRAJAYA: Beberapa muka baharu jelas mencuri perhatian pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe selepas 38 pemain disenarai pendek untuk persiapan mengharungi baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Jun ini.

Justeru, saingan lebih mencabar pasti dapat disaksikan oleh pemain skuad kebangsaan memandangkan hanya 26 atau 27 pemain yang akan dipilih dalam senarai akhir sebelum terbang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

"Memang kita ada senaraikan beberapa muka baharu tetapi kita tetap memantau prestasi mereka. Kita tahu ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan tidak beraksi dalam Liga Super.

"Saya harapkan mereka dapat segera pulih supaya dapat bersedia untuk pusingan kelayakan itu nanti. Saya pun harap tiada lagi pemain berdepan kecederaan selepas ini," kata pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin di sini hari ini.

Sebagai rekod, Cheng Hoe menjadi individu kedua daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menerima vaksin COVID-19 selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dengan mereka disuntik dengan vaksin Pfizer-BioNTech.

Hampir 50 pemain dan pegawai hadir untuk menerima dos pertama itu namun selebihnya akan mengambil suntikan, Khamis ini selepas tidak dapat berbuat demikian.

Skuad kebangsaan akan dihimpunkan pada 16 Mei sebelum mengharungi dua aksi pemanas badan berdepan Kuwait dan Bahrain.

Ia sebagai persiapan untuk menghabiskan baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai yang menyaksikan skuad kebangsaan akan berdepan UAE terlebih dahulu sebelum menentang pendahulu, Vietnam dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan aksi bertemu Thailand.

Ketika ini, mereka berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya apabila menghimpun sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata dan UAE (enam mata).

Berita Harian X