X
Isnin, 19 April 2021 | 6:10pm
Mourinho dipecat oleh Tottenham selepas 17 bulan kendalikan kelab itu.
Mourinho dipecat oleh Tottenham selepas 17 bulan kendalikan kelab itu.

Tottenham pecat Mourinho

LONDON: Jose Mourinho dipecat Tottenham Hotspur selepas 17 bulan membimbing pasukan itu.

Spurs mengalami musim yang malang tahun ini yang menyaksikan kelab London itu terkeluar dalam kelompok lima terbaik liga dalam sekelip mata selain tersingkir daripada saingan Liga Europa.

Mourinho sebelum ini berdepan dengan tekanan yang hebat susulan prestasi hambar anak buahnya dan kini ditunjukkan jalan keluar oleh pemilik kelab, Deniel Levy.

Bekas pemain tengah Spurs, Ryan Mason dijangka mengambil alih tempat Mourinho sebagai pengurus sementara sambil dibantu Chris Powell sehingga tamat saingan hujung musim ini.

Pengurus tetap bagi menggantikan Mourinho yang juga bekas pengendali Chelsea dan Manchester United akan diumumkan pada musim panas ini.

Pengumuman pemecatan Mourinho hadir beberapa jam selepas Spurs menjadi satu daripada enam kelab Liga Perdana Inggeris yang menandatangani bagi beraksi dalam saingan Liga Super Eropah.

Spurs mengalami kemerosotan prestasi yang mendadak apabila mereka yang berada di puncak liga pada Disember 2020 kini sekadar menghuni tangga ketujuh.

Selain itu, Spurs juga tersingkir daripada saingan Liga Europa dengan memalukan apabila mereka yang menang 2-0 dalam aksi pertama kemudiannya tewas secara agregat 3-2 di tangan Dynamo Zagreb pada aksi pusingan 16 terbaik.

Dalam tiga perlawanan terakhir, Spurs mencatat keputusan seri 2-2 dengan Newcastle United selain tewas 1-3 di tangan United dan terbaru Sabtu lalu seri 2-2 dengan Everton. - Agensi

Berita Harian X