Isnin, 19 April 2021 | 1:56pm
Pemain pasukan Selangor FC Muhammad Syahmi Safari (kiri) mengasak pemain Melaka United Stefan Nikolic pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka. - FOTO SYAFEEQ AHMAD
Pemain pasukan Selangor FC Muhammad Syahmi Safari (kiri) mengasak pemain Melaka United Stefan Nikolic pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka. - FOTO SYAFEEQ AHMAD

Zainal kecewa, Neitzel gembira

MELAKA: Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan kecewa kelalaian pada 10 minit terakhir menjadi punca kekalahan skuad itu kepada Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Menurutnya, selepas dua kali mendahului, kealpaan pertahanan menyebabkan kekalahan kedua di laman sendiri sekali gus kempunan mengutip mata maksimum atau pun sekurang-kurangnya mengutip satu mata.

Jelasnya, anak buahnya gagal menutup ruang dalam kotak penalti selepas diasak lawan yang akhirnya menyebabkan gol kemenangan pelawat pada minit-minit akhir babak kedua.

"Jika mereka lebih fokus kelebihan jaringan yang diperoleh mampu dikekalkan kerana ia amat penting dalam setiap perlawanan.

"Justeru saya akan mengkaji kelemahan pertahanan menerusi 'post mortem' sebelum aksi seterusnya berdepan Perak di Ipoh," katanya.

Pada masa sama dia juga mengharapkan penyerang import Alex Goncalves akan kembali beraksi selepas cedera ketika berdepan Penang FC dua minggu lalu.

Sementara itu, jurulatih Selangor Karsten Neitzel berkata, dia lega kerana memiliki pemain simpanan yang sangat baik sekali gus mengubah rentak perlawanan.

Menurutnya, dia melakukan pertukaran tepat pada masanya ketika pasukan ketinggalan dua kali untuk memastikan tekanan ke atas Melaka.

"Prestasi mereka sama dengan kesebelasan utama sekali gus boleh menjadi aset untuk meraih mata penuh ketika lawan mendominasi keputusan semasa," katanya.

Apa yang pasti sumbangan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Muhammad Syahmi Safari antara pemain gantian yang menyinar dan membantu Selangor memenangi aksi itu.

Gol Melaka dalam perlawanan itu disumbangkan menerusi sepakan penalti Stefan Nikolic pada minit ke-45 dan Ahmad Syamim Yahya (m-59) manakala gol Selangor menerusi Olusegun Ifedayo (m-51 dan m-70) serta Muhammad Syahmi, tiga minit sebelum aksi tamat.

Berita Harian X