Isnin, 19 April 2021 | 12:28pm
Jurulatih Simon Elissetche (kiri) bersama peguamnya, Mohd Zhafri Aminurashid pada sidang media di Kuala Lumpur, 27 Januari lalu . - Foto BERNAMA.
Jurulatih Simon Elissetche (kiri) bersama peguamnya, Mohd Zhafri Aminurashid pada sidang media di Kuala Lumpur, 27 Januari lalu . - Foto BERNAMA.

Elissetche bakal heret KLFA, KL City ke FIFA

KUALA LUMPUR: Harap maaf Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan KL City FC, tiada lagi peluang kedua!

Dua organisasi terbabit tampak perlu bersedia dengan segala kemungkinan selepas jurulatih 'tak jadi' pasukan itu, Simon Elissetche bakal mengheret mereka ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi isu penamatan kontrak sebelah pihak.

Perkembangan itu dimaklumkan peguam kepada Elissetche, Zhafri Aminurashid selepas perbincangan yang diadakan bersama dua pihak terbabit sebelum ini menemui jalan buntu.

"Selepas sidang media diadakan, ada beberapa kali perbincangan diadakan dengan mereka tetapi tiada perbincangan serius. Kita lihat lebih kepada sekadar untuk menarik masa.

"Mereka panggil kami datang untuk berbincang dan selepas berjumpa, mereka tanyakan apa yang kami mahu tetapi lepas kami nyatakan kehendak kami, mereka terus senyap.

"Disebabkan isu ini tidak menemui jalan penyelesaian, kami akan failkan kes ini ke FIFA berkemungkinan besar pada minggu depan (minggu ini). Jadi kita akan tunggu FIFA buat keputusan," katanya.

Dalam masa sama, Zhafri menjelaskan buat masa ini hanya kes penamatan kontrak secara sebelah pihak sahaja akan diberi keutamaan, namun kes tuntutan sivil juga akan tetap diteruskan pada masa akan datang.

"Bagi kes sivil, kita akan menunggu Simon kerana dia tidak berada di Malaysia. Kita ada tempoh enam tahun untuk memulakan tuntutan sivil jadi kita tunggu masa yang sesuai.

"Cuma arahan Simon memang jelas iaitu dia mahu teruskan kedua-dua kes iaitu kes FIFA dan juga kes tuntutan sivil itu," katanya.

Pada 27 Januari lalu, Elissetche dilaporkan akan menyaman KL City FC yang ketika itu masih dengan nama KL United sebanyak RM3.5 juta sebagai pampasan untuk penamatan kontrak tanpa alasan munasabah dan ganti rugi susulan fitnah ke atas kelayakan jurulatih itu.

Berita Harian X