Isnin, 19 April 2021 | 12:28pm
Pemain JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva meraikan jaringannya pada aksi Liga Super menentang PJ City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, minggu lalu. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pemain JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva meraikan jaringannya pada aksi Liga Super menentang PJ City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, minggu lalu. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Bergson pembelian berbaloi JDT

KUALA LUMPUR: "Kalau penyerang lain 'power', tetapi Bergson da Silva itu 'superpower!"

Itu rumusan daripada legenda bola sepak Johor, Rizal Sukiman ketika diminta mengulas persembahan hebat penggempur skuad Harimau Selatan itu yang setakat ini cemerlang merobek gawang lawan sebanyak sembilan kali hanya dalam tujuh perlawanan.

Rizal yang juga bekas pemain kebangsaan itu turut menyifatkan pemain dari Brazil itu sebagai 'penyerang sempurna' terutama selepas menunjukkan kualiti yang tersendiri hanya pada musim pertamanya di Liga Malaysia (Liga M).

"Dia ada segalanya yang diperlukan untuk menjadi penyerang sempurna dan sukar untuk kita mencari pemain dengan kualiti seperti itu beraksi dalam Liga M. Pujian kepada JDT kerana pihak pemantau mereka membuat kerja dengan baik.

"Kita boleh nampak yang dia memang berada pada satu yang lebih tinggi berbanding pemain lain dan dia buat saingan Liga Super seperti 'main petang-petang'. Bagi saya, dengan apa yang ditunjukkan oleh Bergson itu, kita boleh panggil dia sebagai fenomena.

"Jadi, saya harap JDT tidak melepaskan peluang untuk mengikat dia secara terus kerana mereka sudah ada aset yang lengkap untuk membantu mereka. Sangat berbaloi untuk melabur pada pemain seperti ini," katanya.

Sebagai rekod, penyerang berusia 30 tahun itu dipinjamkan dari Fortaleza pada minit akhir selepas skuad Harimau Selatan itu membuat keputusan meminjamkan penyerang baharu mereka, Jonathan Herrera ke Independiente.

Namun, dia membuktikan keputusan JDT untuk mengikatnya adalah tepat apabila konsisten meledak jaringan demi jaringan untuk meletakkan JDT ke persada liga selepas sembilan perlawanan.

Bagaimanapun, Rizal menjeelaskan Bergson kini perlu membuktikan keupayaannya apabila beraksi di Liga Juara Juara Asia (ACL) dan mengakui dia akan berdepan cabaran besar untuk bertemu pasukan gergasi Asia.

"Bagi Liga M, memang kita boleh lihat yang dia tiada tandingan. Jadi cabaran di ACL nanti adalah sejauh mana rakan sepasukannya boleh terus memberi servis yang baik kepada Bergson dan bagaimana dia berdepan cabaran yang lebih sengit.

"Sebenarnya kalau JDT dapat mengikat tiga atau empat orang lagi yang memiliki kualiti setara seperti Bergson, saya rasa mereka mampu pergi lebih jauh di ACL.

"Kalau di sini, pasukan lain tengok JDT tetapi kalau di ACL, JDT pula kena tengok pasukan lain yang lebih besar daripada mereka. Untuk berjaya, sudah tentu lebih banyak pelaburan perlu dibuat," katanya.

Berita Harian X