Isnin, 19 April 2021 | 11:51am
Pemain bola sepak kebangsaan mendengar taklimat di pusat pemberian vaksin COVID-19 di Putrajaya, hari ini.
Pemain bola sepak kebangsaan mendengar taklimat di pusat pemberian vaksin COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Harimau Malaya terima vaksin

PUTRAJAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengetuai skuad kebangsaan mendapatkan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 di Putrajaya, pagi ini.

Selepas Hamidin, ia disusuli pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan juga kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Terdahulu, skuad kebangsaan berhimpun di Dewan Seri Seroja, Putrajaya untuk mendapatkan 'perlindungan' yang dinanti-nantikan sebelum mengharungi baki pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Jun ini.

Mereka akan menerima dos pertama terlebih dahulu hari ini.

Antara barisan pemain yang tiba awal di pusat pemberian vaksin sekitar jam 9 pagi adalah kelompok pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) seperti Farizal Marlias, Arif Aiman Hanapi, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty.

Malah, kelibat pemain naturalisasi terbaharu negara, Guilherme de Paula juga kelihatan dan dijangka akan mendapatkan dos pertama juga.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu akan menerima suntikan vaksin COVID-19 sebelum berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, seramai 78 individu merangkumi pegawai, pemain dan barisan kejurulatihan akan diberikan suntikan vaksin bermula hari ini.

Berita Harian X