Isnin, 19 April 2021 | 11:28am
Penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Mohd Shahril Saari (baju putih) cuba menepis bola ke luar pada aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak, di Ipoh. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Mohd Shahril Saari (baju putih) cuba menepis bola ke luar pada aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak, di Ipoh. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Perebutan di puncak Liga Super kian sengit

KUALA LUMPUR: Keputusan seri yang dilakar Kedah Darul Aman (KDA) FC ke atas Perak FC menyaksikan 'perlumbaan' untuk merebut kelompok atasan liga kian rancak selepas pasukan di tangga kedua sehingga keempat hanya dibezakan dengan beberapa mata.

Memasuki minggu ini, pasukan di tangga kedua, skuad Lang Merah tergelincir satu anak tangga apabila dipintas Terengganu FC (TFC) dan berkemungkinan menamatkan minggu ini di tangga keempat jika Penang FC (PFC) berjaya menundukkan PJ City FC.

Mengulas mengenai perebutan yang terus berlangsung saban minggu, pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak melihat situasi itu adalah satu perkembangan yang positif kepada bola sepak Malaysia.

"Tidak mudah kerana pada setiap minggu, ada sahaja perubahan untuk kedudukan pasukan di tangga kedua, ketiga, keempat dan kelima. Ini membuktikan setiap pasukan sentiasa berusaha untuk menjadi bertambah baik dari perlawanan ke perlawanan.

"Ini satu situasi yang baik untuk bola sepak Malaysia," kata bekas jurulatih Home United itu.

Dalam masa sama, Aidil turut memberikan sepenuh kepercayaan kepada pemain yang dimasukkan sebagai pemain gantian yang dilihat berjaya membantu pasukan itu memperagakan aksi lebih kemas selepas rehat.

"Apabila kita berada dalam situasi yang tidak begitu baik, kita ada pemain yang boleh diharapkan untuk melakukan sesuatu. Saya percaya kepada mereka dan mereka memberikan 100 peratus.

"Apa yang lebih penting adalah mereka terus bergerak ke hadapan dan tidak bertahan untuk mendapatkan satu lagi gol. Tetapi kami akan lebih baik apabila mendapat skuad yang lengkap nanti," katanya.

Sementara itu, pengendali The Bos Gaurus, Chong Yee Fatt mengakui pemainnya kurang mempercayai kemampuan diri sendiri dan perkara itu jelas membuatkan mereka bergelut untuk meraih kemenangan.

"Walaupun saya mengharapkan tiga mata daripada perlawanan ini tetapi satu mata pun sudah cukup baik. Masalah kita adalah tidak menyempurnakan peluang yang ada dan itu memberi tekanan kepada pasukan khususnya di barisan pertahanan.

"Selain masalah kecederaan yang membuatkan kita tidak banyak pilihan, saya rasa mentaliti pemain juga agak kekurangan buat masa ini. Saya harap ia akan bertambah baik untuk aksi seterusnya," katanya.

Berita Harian X