Isnin, 19 April 2021 | 12:04am
Pemain PJ City FC, Gurusamy Govandar Kandasamy (dua kiri) cuba bersaing dengan pemain Penang FC, Rafael Vitor Santos De Freitas dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto NSTP/Aswadi Alias.
Pemain PJ City FC, Gurusamy Govandar Kandasamy (dua kiri) cuba bersaing dengan pemain Penang FC, Rafael Vitor Santos De Freitas dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Foto NSTP/Aswadi Alias.

PJ City, Penang FC kongsi mata

PETALING JAYA: Penang FC (PFC) mensia-siakan peluang melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas terikat 1-1 dengan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Kumbang kekal di tangga keempat dengan 16 mata, ketinggalan dua mata di belakang Terengganu FC (TFC) dan satu mata di belakang Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Namun apa yang positif adalah skuad bimbingan Tomas Trucha itu belum lagi tewas sejak aksi kedua di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pada aksi malam tadi, PJ City terlebih dahulu di depan pada minit ke-39 selepas hantaran Mahali Jasuli disudahkan oleh Ruventhiran ke dalam gawang gol terbuka untuk gol pertamanya pada musim ini.

Selepas rehat, PFC tidak perlu menunggu lama untuk mengikat kedudukan selepas Casagrande terus cemerlang meledak gol kelimanya pada musim ini, hanya selepas dua minit babak kedua bersambung.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga wiesel penamat dibunyikan untuk kedua dua pasukan berkongsi mata.

Selepas ini PJ City FC akan bertemu pasukan tercorot liga, UiTM FC sementara PFC pula akan melayan kunjungan satu lagi pasukan tercorot, Sri Pahang FC.

Berita Harian X