Sabtu, 17 April 2021 | 10:58pm
Pemain Newcastle, Joe Willock (dua kanan) meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada aksi EPL menentang West Ham di St James Park. - Newcastle menang 3-2. - Foto EPA.
Pemain Newcastle, Joe Willock (dua kanan) meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada aksi EPL menentang West Ham di St James Park. - Newcastle menang 3-2. - Foto EPA.

Newcastle atasi West Ham

NEWCASTLE, United Kingdom: Newcastle kembali mencerahkan peluang kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas jaringan Joe Willock pada minit akhir perlawanan membantu pasukannya mencatat kemenangan 3-2 ke atas West Ham, di sini sebentar tadi.

Kekalahan itu sebaliknya, bagaimanapun meleburkan harapan pasukan pelawat yang beraksi dengan 10 pemain untuk terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas liga bagi musim ini.

Skuad bimbingan Steve Bruce mensia-siakan kelebihan dua jaringan pada aksi di Stadium St James Park itu, sebelum Willock masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan gol kemenangan.

Newcastle kini berkelebihan sembilan mata daripada zon penyingkiran ketika saingan berbaki enam perlawanan dalam kempen yang serba tidak menjadi buat kelab Tyneside itu.

The Magpies menguasai saingan babak pertama dan mendapat jaringan pertama menerusi gol sendiri Issa Diop, sebelum kelebihan itu ditambah melalui Joelinton yang mengambil peluang daripada kesilapan penjaga gol, Lukasz Fabianski.

Pertahanan West Ham, Craig Dawson dibuang padang kerana mengutip dua kad kuning.

The Hammers kembali merapatkan kedudukan menerusi Diop sebelum Jesse Lingard menyamakan kedudukan 2-2 melalui sepakan penalti ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Willock yang dipinjamkan daripada Arsenal kemudian tampil menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-83 bagi membantu pasukannya mengelak terhumban ke zon penyingkiran.

- AFP

Berita Harian X