Sabtu, 17 April 2021 | 7:44am
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola (kanan) dan jurulatih Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer dalam satu perlawanan sebelum ini. - Foto ihsan Independent.
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola (kanan) dan jurulatih Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer dalam satu perlawanan sebelum ini. - Foto ihsan Independent.

Aksi EPL lebih sengit, panas minggu ini

KOLUM APA KATA EPL

Manchester United berupaya mengurangkan jurang kedudukan kepada lapan mata dengan Manchester City di persada liga sekiranya mampu menundukkan Burnley di laman sendiri minggu ini. United kini menghimpun 63 mata berbanding 74 dimiliki jirannya di Manchester itu.

Minggu ini City tidak beraksi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), sebaliknya menumpukan kepada aksi separuh akhir Piala FA menentang Chelsea esok. Satu lagi aksi membabitkan pasukan tempat ketiga, Leicester dan Southampton. Kedua-dua aksi diadakan di Wembley.

Skuad Pep Guardiola yang mara separuh akhir Liga Juara-Juara bertemu PSG, hanya dijadual beraksi menentang Aston Villa awal pagi Khamis ini dan perlu menang jika ingin menjadi juara lebih awal. Minggu lalu, The Citizens dikejutkan Leeds 2-1 di Etihad.

City kini di landasan meraih empat kejuaraan musim ini. Dengan kejuaraan EPL hampir pasti, mereka akan juga berentap pada aksi final Piala Liga Inggeris menentang Tottenham Hotspur pada aksi final 25 April ini.

Dalam pada itu, United yang mengesahkan tempat di separuh akhir Liga Europa selepas menyingkirkan Granada, kelmarin, seharusnya mampu melengkapkan kemenangan berganda ke atas Burnley, selepas menundukkan lawannya itu 1-0 di Stadium Turf Moor sebelum ini.

Skuad Ole Gunnar Solskjaer yang melakukan sembilan kebangkitan dalam saingan musim ini, kini memiliki kelebihan sembilan mata ke atas Chelsea yang menduduki tangga kelima dengan 54 mata, untuk terus mengukuhkan kedudukan layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pasukan di tangga keempat, West Ham kini berpeluang memintas Leicester apabila berkunjung ke St James Park, bertemu Newcastle malam ini. Dengan hanya satu mata memisahkan kedua-duanya, kemenangan akan memastikan The Hammers melonjak.

Penyandang juara yang kini menghuni tangga keenam, Liverpool turut berpeluang meningkat ke tangga keempat atau kelima jika mampu mengatasi Leeds di Elland Road awal pagi Selasa ini. Skuad Jurgen Klopp kini menghimpun 52 mata. Jika menang, ia sah memintas Chelsea.

Penghuni tangga ketujuh dan kelapan, Tottenham dan Everton membuat perhitungan minggu ini. Mereka yang masing-masing mengumpul 49 dan 48 mata, masih memiliki peluang ke Eropah, namun perlu menang aksi liga ke-32 ini dan seterusnya.

Dalam pada itu, Sheffield hampir pasti akan tersingkir dari EPL apabila ketinggalan 18 mata di belakang Newcastle yang menduduki tangga ke-17 ketika saingan berbaki tujuh lagi. West Brom dan Fulham turut berdepan nasib sama, selepas menduduki tangga ke-19 dan ke-18.

West Brom (24 mata) dan Fulham (26) pun begitu masih memiliki peluang kekal sekiranya mampu memenangi semua baki aksi dan dalam masa sama Newcastle (32), Burnley (33), Brighton (33) ataupun Southampton (36) gagal meraih mata. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini:

Everton 2-2 Tottenham

Newcastle 1-3 West Ham

Wolves 2-1 Sheffield

Arsenal 3-0 Fulham

Man United 2-1 Burnley

Leeds 1-1 Liverpool

Chelsea 3-0 Brighton

Berita Harian X