Jumaat, 16 April 2021 | 12:54pm
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak (kanan) mengendalikan sesi latihan pasukannya di Alor Setar malam tadi. - Foto ihsan Facebook KDA FC.
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak (kanan) mengendalikan sesi latihan pasukannya di Alor Setar malam tadi. - Foto ihsan Facebook KDA FC.

Kedah dijangka turunkan pemain muda jumpa Perak

ALOR SETAR: Beberapa pemain muda Kedah Darul Aman FC (KDA FC), dijangka diturunkan bagi menghadapi Perak FC dalam saingan Liga Super malam esok, selepas enam pemain utama skuad Hijau Kuning itu tidak dapat beraksi susulan kecederaan dan digantung perlawanan.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata pemain muda berkenaan perlu mengambil peluang membuktikan kemampuan mereka dalam perlawanan itu, bagi memastikan pasukan dapat mengutip mata penuh walaupun beraksi di tempat lawan.

"Sebelum ini, ada empat pemain yang tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan tapi jumlah itu bertambah kepada enam selepas dua pemain dilayangkan kad merah pada perlawanan menentang Terengganu FC (TFC) baru-baru ini.

"Tapi, saya percaya dengan semua pemain kita dan mereka akan beri yang terbaik. Ini merupakan peluang untuk pemain muda tunjuk apa yang mereka ada dan saya harap mereka semua ambil peluang ini dengan bijak," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini malam tadi.

Renan Alves, Muhammad Syazwan Tajudin, Mohd Syazwan Zainon dan Mohd Rizal Mohd Ghazali yang mengalami kecederaan tidak dapat beraksi malam esok, manakala Rodney Celvin dan Fadzrul Daniel tidak dapat diturunkan selepas menerima kad merah pada perlawanan menentang TFC, 9 April lalu.

Dalam pada itu, Aidil Sharin juga menjangkakan aksi menentang Perak FC, perlawanan pertama dalam bulan Ramadan mungkin sedikit sukar bagi anak buahnya.

Katanya, pemain perlu tenang dan mencari gol awal bagi meletakkan kedudukan pasukan di tempat yang selesa dengan secepat mungkin.

- BERNAMA

Berita Harian X