X
Khamis, 15 April 2021 | 6:40am
Pemain Liverpool Mohamed Salah (kanan) mensia-siakan peluang menjaringkan gol ketika aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid di Anfield. - Foto AFP
Pemain Liverpool Mohamed Salah (kanan) mensia-siakan peluang menjaringkan gol ketika aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid di Anfield. - Foto AFP

Liverpool tumpul di Anfield

LIVERPOOL: Jurgen Klopp meratapi kegagalan Liverpool kendaliannya menterjemah penguasaan kepada gol ketika Real Madrid mengikat mereka 0-0 pada aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah di Anfield.

Keputusan itu menyaksikan Real Madrid mara ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 3-1.

Mohamed Salah dan Georginio Wijnaldum mensia-siakan peluang untuk mengulangi kebangkitan ketika menundukkan Barcelona 4-3 selepas ketinggalan 3-0 pada separuh akhir pertama dua tahun lalu.

"Kami tidak tewas pada pertemuan malam ini. Kami tewas ketika di Madrid tetapi walaupun kami seri 0-0 di sana, kami pasti masih akan bermain kerana tidak mampu menjaringkan gol.

"Memang inilah prestasi kami tahun ini. Kami mengharungi beberapa perlawanan Liga Perdana Inggeris di sini di mana kami gagal memanfaatkan peluang.

"Kami tahun berapa kerapa Mo Salah dapat menyempurnakan peluang sebegini dengan menutup mata, tetapi tidak kali ini," kata Klopp yang kini terpaksa mengharapkan tempat dalam kelompok empat teratas liga untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Madrid juga tidak menampilkan prestasi terbaik mereka, tetapi ia sudah mencukupi buat skuad kendalian Zinedine Zidane untuk bertemu Chelsea di separuh akhir.

"Kami sedar kami perlu merana malam ini, tetapi di akhirnya kami mendapat apa yang kami mahukan - layak ke pusingan seterusnya.

"Kami tahu mereka akan bermula pantas dan mereka amat bagus dalam 15 minit pertama, tetapi itu perkara biasa," kata Zidane. - AFP

Berita Harian X