Rabu, 14 April 2021 | 8:09am
Dua kali percubaan Neymar terkena tiang gol di babak pertama aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Bayern Munich di Parc des Princes, Paris. - Foto AFP
Dua kali percubaan Neymar terkena tiang gol di babak pertama aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah menentang Bayern Munich di Parc des Princes, Paris. - Foto AFP

PSG tebus kecewa final musim lalu

PARIS: Paris Saint-Germain menyingkirkan juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah Bayern Munich menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas terikat 3-3 secara agregat di suku akhir.

PSG tewas pada aksi timbal balik di Parc des Princes selepas Eric Maxim Choupo-Moting menjaringkan gol tunggal perlawanan menentang kelab lamanya, tetapi ia tidak dapat menghalang gergasi Perancis itu untuk mara ke separuh akhir.

Dua kali percubaan Neymar terkena tiang gol di babak pertama dan Choupo-Moting kemudian meletakkan Bayern di depan lima minit sebelum rehat.

Usaha juara bertahan itu untuk mencari gol kedua tidak kesampaian selepas mereka tewas 3-2 pada aksi pertama di laman sendiri minggu lalu.

PSG kini berjaya menebus kekalahan 1-0 pada final musim lalu dan impian untuk mereka memenangi Kejuaraan Eropah pertama terus menyala.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino yang sebelum ini menyingkirkan Barcelona di peringkat 16 terakhir, akan berdepan sama ada Manchester City atau Borussia Dortmund.

"Saya amat gembira, walaupun tewas. Kami berdepan pasukan yang hebat, juara Eropah, tetapi kami kembali ke separuh akhir.

"Kami adalah pasukan yang nyata. Perkara paling penting ialah kami berjaya mara. Kini kami boleh mensasarkan sesuatu yang lebih besar," kata Neymar. - AFP

Berita Harian X