Rabu, 14 April 2021 | 7:53am
(Dari kiri) Pemain-pemain Chelsea Ben Chilwell, Jorginho dan Mason Mount cuba menghalang penyerang FC Porto Jesus Corona "Tecatito" ketika aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, Seville. - Foto AFP
(Dari kiri) Pemain-pemain Chelsea Ben Chilwell, Jorginho dan Mason Mount cuba menghalang penyerang FC Porto Jesus Corona "Tecatito" ketika aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, Seville. - Foto AFP

Chelsea ke separuh akhir Liga Juara-Juara

SEVILLE, Sepanyol: Thomas Tuchel menggesa skuad muda Chelsea kendaliannya untuk menikmati pengembaraan mereka di Liga Juara-Juara Eropah selepas mereka mara ke separuh akhir buat pertama kali sejak tahun 2014.

Walaupun tewas 1-0 di tangan Porto pada aksi timbal balik suku akhir di Seville, Chelsea mara dengan kelebihan 2-1 secara agregat.

Mereka akan bertemu sama ada Real Madrid atau Liverpool di separuh akhir.

Tuchel menerapkan taktik bertahan untuk mengekalkan agregat 2-0 sehingga Mehdi Taremi memecah kebuntuan dengan sepakan gunting dalam masa kecederaan.

Chelsea hanya tewas sekali dalam 18 perlawanan di bawah bimbingan Tuchel yang menggantikan Frank Lampard pada Januari.

Mara ke kelompok empat terakhir Liga Juara-Juara adalah pencapaian cukup membanggakan buat skuad muda Chelsea yang kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman beraksi di kejohanan tertinggi Eropah itu.

Tuchel sedar pemain-pemain seperti Mason Mount, Reece James, Kai Havertz, Ben Chilwell dan Christian Pulisic masih di peringkat pendedahan, tetapi dia berharap keberanian mereka akan menjadi sesuatu yang cukup bernilai.

"Mason menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan ketika perlawanan suku akhir pertama.

"Apabila (Kylian) Mbappe menjaringkan gol atau (Mohamed) Salah menjaringkan gol atau (Karim) Benzema menjaringkan gol, ia adalah gol ke-100 atau ke-50 mereka dalam pertandingan.

"Kami hadir sebagai pasukan muda. Mereka boleh berjuang, berlari dan bertahan. Kita perlu menganggapnya sebagai pengembaraan buat mereka. Ia langkah yang besar.

"Anda tahu bila kali terakhir Chelsea berada di separuh akhir. Kami tidak biasa berada di sana. Ia pencapaian yang besar," kata Tuchel. - AFP

Berita Harian X