Ahad, 11 April 2021 | 3:53pm
Azamuddin bertindak balas mencekak jersi Faisal selepas dikasari oleh pemain TFC itu. - FOTO KDA FC
Azamuddin bertindak balas mencekak jersi Faisal selepas dikasari oleh pemain TFC itu. - FOTO KDA FC
Fadzrul Danel (kiri) dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel Baharudin selepas menolak pengadil itu ketika aksi menentang TFC. - BERNAMA
Fadzrul Danel (kiri) dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel Baharudin selepas menolak pengadil itu ketika aksi menentang TFC. - BERNAMA

Liga M bukan 'liga samseng'

KUALA LUMPUR: Adakah elemen 'samseng' kini menular dalam saingan Liga Bolasepak Malaysia (Liga M)?

Itulah persoalan yang timbul selepas melihat dua insiden ketika aksi antara Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Terengganu FC (TFC), malam kelmarin.

Tindakan pemain tengah Kedah, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam menolak pengadil dan tindak balas Azamuddin Akil mencekak baju Faisal Abdul Halim selepas dikasari jelas menuntut perhatian daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia.

Malah, insiden itu turut menimbulkan persoalan di manakah semangat kesukanan dan slogan fair play yang diikrarkan pemain sebelum perlawanan?

Jelas, hukuman denda RM10,000 dan penggantungan dua perlawanan ke atas pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) Natxo Insa yang menolak pengadil sebelum ini nyata belum 'menakutkan' pemain.

Menariknya, pengadil sama, Noor Azriel Baharudin sekali lagi menjadi mangsa 'keganasan' selepas ditolak Fadzrul sekali gus menyaksikan pemain itu dilayangkan kad merah.

Mengulas mengenai perkara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah mengakui hukuman yang dikenakan sebelum ini tampak 'tidak jalan' sekali gus menuntut hukuman lebih keras dikenakan.

Menurutnya, hukuman keras perlu diambil bagi mengelakkan insiden yang bermula dengan setakat menolak pengadil menjadi lebih besar sehingga dibimbangi ada pengadil yang ditumbuk pemain selepas ini.

"Perkara ini sudah melampau kerana pemain sudah tidak lagi menghormati pengadil. Mungkin sebab pemain memandang sebelah mata sahaja dengan hukuman yang sudah diberikan sebelum ini.

"Jadi, untuk insiden seperti yang berlaku pada perlawanan itu, bukan sahaja kad merah tetapi sudah pasti kes terbabit akan dirujuk juga ke Jawatankuasa Tatatatertib FAM selepas ini.

"Mungkin Jawatankuasa Tatatertib boleh merujuk Artikel 51 untuk perkara ini. Apapun, hukuman yang lebih berat perlu dikenakan supaya kejadian ini tidak lagi berulang.

"Untuk satu lagi insiden membabitkan pemain KDA FC mencekak jersi pemain TFC, pasti ia juga akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib jika ada laporan daripada pengadil," katanya.

Berdasarkan semakan Kod Tatatertib FAM edisi 2015 membabitkan Artikel 51 iaitu salahlaku terhadap pegawai pertandingan, bukan sahaja penggantungan automatik menurut Artikel 18 para 4 tetapi penggantungan lain juga boleh dikenakan ke atas mana-mana individu yang menerima kad merah secara terus.

Antaranya adalah sekurang-kurangnya empat perlawanan bagi kelakuan yang tidak bersemangat sukan terhadap pegawai pertandingan (subjek kepada Art. 55, 56, 59, 60, 62 dan 63).

Selain itu, sekurang-kurangnya enam bulan bagi menyerang (menyiku, menumbuk, menendang dan lain lain) pegawai pertandingan serta denda juga boleh dikenakan bagi kesemua kes.

Berita Harian X