Sabtu, 10 April 2021 | 11:01pm
Pemain JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva meledak rembatan pada aksi menentang PJ City dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pemain JDT, Bergson Gustavo Silveira Da Silva meledak rembatan pada aksi menentang PJ City dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. - FOTO NUR AISYAH MAZALAN

JDT baham PJ City

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus gah di persada Liga Super selepas mudah membenam Petaling Jaya City FC (PJ City FC) 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga memastikan skuad Harimau Selatan mengumpul 20 mata selepas melakar enam kemenangan dan dua keputusan seri membolehkan pasukan itu menjarakkan empat mata dengan pencabar terdekat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang dimalukan Terengganu FC (TFC) 1-2 pada aksi di Stadium Darul Aman, semalam.

Skuad kendalian Benjamin Mora melakukan rombakan kecil di benteng pertahanan selepas Mauricio Nascimento diketepikan akibat penggantungan satu perlawanan akibat tiga kad kuning menyaksikan Aidil Zafuan Abd Radzak bergandingan bersama Adam Nor Azlin di posisi itu.

Kesungguhan tuan rumah memburu kemenangan bermula seawal minit kedua apabila bola sepakan lintang Ariffv Aiman Mohd Hanafi membolehkan Gonzalo Cabrera yang tidak dikawal menanduk kemas bola menewaskan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang sekadar melihat bola menerjah jaring.

Sikap kurang profesional pemain yang dibimbing P Manian tatkala kerap melakukan kekerasan terhadap pemain JDT nyata menjejaskan momentum permainan apabila pengadil, Mohd Hasrol Mohd Amir terpaksa menghentikan perlawanan kerana berlaku terjahan keras.

Namun, ia tidak menjejas tumpuan JDT menambah jaringan dan berpunca daripada kesilapan benteng pelawat yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit ke-20 membolehkan Bergson Da Silva merampas bola sebelum merembat bola leret di luar kotak penalti tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

JDT menambah derita PJ City apabila Bergson mencetak gol kedua peribadi pada minit ke -30 selepas gerakan menarik dilakukan Cabrera yang mengumpan tepat kepada pemain dari Brazil itu sebelum merembat bola leret menewaskan Kalamullah.

Berita Harian X