Sabtu, 10 April 2021 | 9:30am
Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer (kiri) dan Jose Mourinho dalam satu perlawanan sebelum ini. - Foto AFP.
Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer (kiri) dan Jose Mourinho dalam satu perlawanan sebelum ini. - Foto AFP.

Perebutan ke saingan Eropah jadi tumpuan

KOLUM APA KATA EPL

SELEPAS Manchester City hampir pasti mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, tumpuan pencabar utama lain kini kepada perebutan tiga tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Selain Manchester United yang menduduki tempat kedua ketika ini dengan himpunan 60 mata, enam pasukan lain iaitu Leicester (56 mata), West Ham (52), Chelsea (51), Tottenham (49) Liverpool (49) dan Everton 47) antara yang turut memiliki peluang.

Dengan berbaki lapan perlawanan yang menjanjikan 24 mata, United dilihat berpeluang paling cerah layak apabila berkelebihan sembilan mata ke atas pasukan tempat kelima, Chelsea. Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer kini hanya perlu menang lima baki aksi lagi .

Leicester dan pasukan kejutan, West Ham yang masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat mengharungi cabaran getir untuk mempertahankan kedudukan, apabila berdepan tekanan berterusan daripada Chelsea, Tottenham dan Everton.

Minggu ini empat daripada enam pasukan ini akan bertembung sesama sendiri sekali gus saingan pastinya bakal bertambah panas. Tottenham akan melayan kunjungan United manakala West Ham menyambut kedatangan Leicester malam esok.

Juara bertahan, Liverpool pula akan beraksi 24 jam lebih awal, bertemu pasukan tangga kesembilan Aston Villa di Villa Park. Menariknya, jika skuad Jurgen Klopp mampu mengatasi lawannya itu, ia akan memintas Chelsea dan West Ham untuk menduduki tempat keempat.

Soalnya, mampukah The Reds membenam Villa yang turut memburu tempat ke saingan Liga Europa musim depan. Pada pertengahan minggu, Liverpool tewas 1-3 kepada Real Madrid pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara, namun menang 3-0 ke atas Arsenal dalam aksi terakhir liga.

Pertemuan Tottenham-United di Stadium Tottenham Hotrspurs harus menarik. Pada aksi pertama di Old Trafford, Red Devils dibelasah 6-1 sekali gus menyaksikan anak buah Jose Mourinho tentunya mahu mencipta kemenangan berganda musim ini.

Mampukah mereka melakukannya? Rekod lalu menunjukkan United hanya menang sekali daripada lapan aksi di laman Spurs. Red Devils hadir di London dengan motivasi tinggi selepas menewaskan Granada 2-0 pada aksi pertama suku akhir Liga Europa kelmarin.

Minggu lalu, mereka menewaskan Brighton 2-1 untuk kekal di tempat kedua liga manakala Spurs terikat 2-2 menentang Newcastle di St James Park. Sementara itu, pertemuan West Ham-Leicester di Stadium London malam esok, harus lebih panas dari biasa.

Mampukah pemain pinjaman United, Jesse Lingard terus memainkan peranan penting termasuk meledak gol lagi untuk The Hammers? Atau The Foxes mampu mencuri mata di laman lawannya itu. Rekod lalu menunjukkan West Ham memenangi tujuh daripada lapan aksi terakhir ke atas Leicester di laman sendiri. Andai menang West Ham akan merapati kedudukan ketiga liga.

Sementara itu, Sheffield hampir pasti tersingkir dari saingan EPL musim ini selepas hanya mampu mengumpulkan 14 mata daripada 30 aksi, ketinggalan 15 mata di belakang Newcastle yang menduduki tangga ke-17 liga atau zon selamat. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini

Fulham 1-3 Wolves

Man City2-2 Leeds

Liverpool 3-1 Aston

C Palace 1-3 Chelsea

Burnley1-1 Newcastle

West Ham 1-1 Leicester

Tottenham 1-3 Man United

Sheffield 1-2 Arsenal

West Brom 1-1 Southampton

Brighton 1-3 Everton

Berita Harian X