Jumaat, 9 April 2021 | 11:30pm
 Pemain KDA FC, Rabih Ataya (jersi kuning hijau) menjaringkan gol pertama pasukannya pada aksi Liga Super menentang TFC di Stadium Darul Aman, Alor Setar. TFC menang 2-1.- Foto BERNAMA.
Pemain KDA FC, Rabih Ataya (jersi kuning hijau) menjaringkan gol pertama pasukannya pada aksi Liga Super menentang TFC di Stadium Darul Aman, Alor Setar. TFC menang 2-1.- Foto BERNAMA.

Kedah tersungkur di laman sendiri

ALOR SETAR: Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk mengutip mata penuh dalam saingan Liga Super di laman sendiri tidak kesampaian apabila tumpas 1-2 kepada Terengganu FC (TFC), sebentar tadi.

Kekecewaan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak berganda apabila dua pemain mereka, Fadzrul Danel dan Rodney Celvin dilayangkan kad merah oleh pengadil Noor Azriel Baharudin di penghujung babak perlawanan.

Dalam aksi berkenaan, Kedah lebih dulu melakukan percubaan menerusi Rabih Ataya seawal minit pertama dan Arif Farhan 10 minit kemudian. TFC juga cuba meningkatkan rentak dengan percubaan Faisal Halim pada minit ke-15, disusuli percubaan David Da Silva pada minit ke-22

Tuan rumah akhirnya berjaya memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-39 menerusi jaringan sendiri pemain TFC, Mohd Fauzi yang tertampan masuk bola percubaan Rabih Ataya.

Dihujung minit babak pertama, pengadil memberi sepakan penalti kepada TFC selepas bola terkena tangan pemain pertahanan KDA FC, Ariff Farhan. Peluang itu diambil oleh penyerang TFC, David Da Silva untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Pada babak kedua, pelawat berjaya mengejutkan Kedah apabila menambah gol melalui percubaan Azam Azmi yang menewaskan Shahril Saari pada minit ke-60 melalui hantaran pantas Faisal.

Kedah cuba memburu gol penyamaan selepas memasukkan pemain simpanan Azamuddin Akil, Fadzrul Danel dan Fayadh Zulkifli bagi menggantikan Baddrol Bakhtiar, Fandi Osman dan Rabih Ataya, namun tetap buntu. Kedudukan 1-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Berita Harian X