Khamis, 8 April 2021 | 7:36am
Pemain tengah Chelsea, Mason Mount (tengah kanan nombor 19) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Porto di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, Seville, Andalusia, Sepanyol. Chelsea menang 2-0. - Foto EPA.
Pemain tengah Chelsea, Mason Mount (tengah kanan nombor 19) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara menentang Porto di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, Seville, Andalusia, Sepanyol. Chelsea menang 2-0. - Foto EPA.

Chelsea hampiri separuh akhir Liga Juara-Juara

SEVILLE, Sepanyol: Gol daripada Mason Mount membantu Chelsea menang 2-0 pada perlawanan pertama menentang Porto, yang mensia-siakan banyak peluang hingga menyukarkan harapan mereka mencipta satu lagi kejutan dalam suku akhir Liga Juara-Juara.

Cubaan Mount pada babak pertama sudah cukup menyakitkan buat Porto, yang beraksi lebih baik untuk sebahagian besar perlawanan di Seville tetapi berulang kali kurang ketajaman untuk mencipta kelebihan.

Sebaliknya, kekecewaan mereka dilengkapkan apabila Ben Chilwell mengambil kesempatan kesilapan pertahanan pada lewat babak kedua yang memberikan Chelsea satu lagi gol penting di tempat lawan dan semakin hampir ke separuh akhir.

Gol tempat lawan hanya pada nama ketika kedua-dua pasukan beraksi di gelanggang asing Ramon Sanchez Pizjuan, tempat mereka akan bertemu sekali lagi minggu depan.

Porto yang beraksi selaku tuan rumah, memakai jersi utama mereka, memaparkan kain rentang besar di tempat duduk kosong dan lagu kelab berkumandang sebelum sepak mula.

Chelsea juga memainkan peranan mereka, menampilkan persembahan klasik di tempat lawan sambil menyerap tekanan dan mengancam lawan mereka menerusi serangan balas pantas dan kualiti ditunjukkan pada penghujung saingan nyata berkesan.

Real Madrid mungkin boleh menjadi lawan buat pelawat selepas mereka menewaskan Liverpool 3-1 semalam.

"Ada suasana yang bagus dalam bilik persalinan, kami gembira tetapi tidak keterlaluan, teruja tetapi tidak berlebihan," kata jurulatih Chelsea, Thomas Tuchel.

"Kami perlu ada mentaliti terbaik dan persembahan terbaik Selasa depan."

Gol dihasilkan Mount menjadikan dia pemain termuda Chelsea menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara pada usia 22 tahun 87 hari manakala jaringan kedua Chilwell bermakna kelab itu menampilkan dua penjaring gol daripada pemain England buat pertama kali sejak 2012.

Kemenangan Chelsea juga bermakna ia sedikit sebanyak mengurangkan kejutan kalah 5-2 di laman sendiri kepada West Brom dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menamatkan rentetan 14 perlawanan tanpa kalah Tuchel sejak dilantik.

"Selepas tewas perlawanan yang pelik, kami katakan situasi terbaik ialah menampilkan perlawanan tanpa bolos dan ini menjadikan ia amat berharga, keputusan yang baik," kata Tuchel.

- AFP

Berita Harian X