Selasa, 6 April 2021 | 11:11am
Bahagian serangan masih menjadi isu utama pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menjelang pertemuan Liga Juara-Juara menentang Porto. - AFP
Bahagian serangan masih menjadi isu utama pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menjelang pertemuan Liga Juara-Juara menentang Porto. - AFP

Tuchel perlu cari jalan 'kejutkan' Chelsea

LONDON: Permulaan tenang Thomas Tuchel sebagai pengurus Chelsea akhirnya tamat di tangan pasukan bawahan, West Bromwich Albion yang menjadi pasukan pelawat pertama meledak lima gol di Stamford Bridge dalam tempoh 10 tahun Sabtu lalu.

Kad merah awal diterima Thiago Silva memainkan peranan besar kekalahan mengejut 5-2 yang menamatkan rentetan 14 perlawanan tanpa kalah Tuchel sejak menggantikan Frank Lampard pada Januari.

Jurulatih Jerman itu kini perlu menunjukkan dia boleh berdepan kepelbagaian bersama kelab barat London itu.

"Ia satu peringatan. Kami akan membalasnya dengan betul," kata Tuchel.

"Adalah penting untuk kami menerimanya. Saya tidak nampak ia datang, kini kami perlu mengambil tanggungjawab - termasuk saya - dan melupakannya.

"Kami tidak boleh, selepas 15 atau 14 perlawanan, hilang pertimbangan. Kita tidak boleh mengambil semula kepercayaan yang sudah diberikan kepada pemain ini."

Dia meminta skuadnya tenang selepas laporan mengatakan wujudnya perbalahan di padang latihan Ahad lalu antara Antonio Rudiger dan Kepa Arrizabalaga.

Tindak balas lancar diperlukan pada suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini menentang Porto di Seville berikutan larangan penerbangan kerana COVID-19 antara Portugal dan England.

Walaupun gergasi Portugal itu menyingkirkan Juventus pada kelompok 16 terakhir, selain mara ke separuh akhir kali pertama sejak 2014, ia akan dilihat sebagai mengecewakan buat Chelsea.

Keputusan yang bagus menutup sebahagian keretakan membawa kepada pemecatan Lampard dan akan diselesaikan.

Hakim Ziyech, Timo Werner dan Kai Havertz yang dibeli dengan nilai besar pada pasaran perpindahan musim panas lalu semuanya masih belum menunjukkan kemampuan sebenar.

Tuchel mencari kekuatan Chelsea dengan melakukan penggiliran terutama di bahagian serangan.

Namun kekurangan gol masih menjadi masalah dengan skuad Blues hanya menjaringkan 13 gol dalam 11 perlawanan terakhir Liga Perdana.

Berita Harian X