Selasa, 6 April 2021 | 10:08am
Penyerang Bayern, Robert Lewandowski (kanan) tidak dapat beraksi kerana kecederaan lutut. - EPA
Penyerang Bayern, Robert Lewandowski (kanan) tidak dapat beraksi kerana kecederaan lutut. - EPA

Bayern ulangi 'final' tanpa Lewandowski

BERLIN: Juara bertahan, Bayern Munich akan berdepan ujian terhadap ketahanan mereka mempertahankan mahkota Liga Juara-Juara tanpa penjaring terbanyak, Robert Lewandowski di laman sendiri bertemu Paris Saint Germain awal pagi Khamis ini.

Kecederaan lutut memaksa Lewandowski dketepikan daripada kedua-dua saingan suku akhir di Allianz Arena dan Paris awal pagi Rabu depan.

Daripada 103 gol dijaringkan Bayern dalam Bundesliga atau Liga Juara-Juara musim ini, Lewandowski menyumbang 46 daripadanya menerusi gol atau bantuan.

Bagaimanapun Bayern membuktikan pada hujung minggu ini mereka boleh menang perlawanan besar tanpanya.

Leon Goretzka meledak gol kemenangan 1-0 pada Sabtu lalu menentang pasukan tangga kedua, RB Leipzig yang memberikan Bayern kelebihan tujuh mata di persada Bundesliga.

"Jelas mereka lebih baik jika ada Lewandowski," kata jurulatih Leipzig, Julian Nagelsmann mengenai Bayern. "Tapi mereka berkelas dunia dan ada pemain bijak yang boleh menggantikannya."

Selepas digunakan ketika berdepan Leipzig, pengganti Lewandowski, Eric Maxim Choupo-Moting dijangka akan membuat penampilan ketiganya dalam Liga Juara-Juara berdepan bekas kelabnya.

Pemain berusia 32 tahun dari Cameroon itu meninggalkan PSG selepas masuk sebagai pemain gantian buat Bayern pada final Liga Juara-Juara musim lalu.

"Jangkaannya amat besar," kata Choupo-Moting berkaitan saingan menentang bekas kelabnya itu.

"Ia edisi baharu final tahun lalu.

"Mungkin tiada siapa menjangkakan kami akan kembali bertemu sepantas ini." - AFP

Berita Harian X