Isnin, 29 March 2021 | 11:22pm
Skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan di Pusat Latihan Tertutup Dato' Suleiman Mohd Noor, Padang Seri Gelam, Johor Bahru, pada Jumaat lalu. - Foto ihsan FB FAM.
Skuad Harimau Malaya menjalani sesi latihan di Pusat Latihan Tertutup Dato' Suleiman Mohd Noor, Padang Seri Gelam, Johor Bahru, pada Jumaat lalu. - Foto ihsan FB FAM.

3 pemain naturalisasi sandaran Harimau Malaya

KOLUM APABILA PENYOKONG BERSUARA

Selepas hampir menyepi selama setahun, akhirnya bahang kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semakin terasa.

Dengan penundaan perlawanan kelayakan ke bulan Jun, ia memberi nafas baru buat skuad Harimau Malaya kerana ketua jurulatih Tan Cheng Hoe mempunyai lebih banyak masa untuk mempersiapkan skuad negara.

Jadi baki tiga bulan ini, saya percaya Tan Cheng Hoe akan kerja bermati-matian untuk memastikan Malaysia layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia secara merit.

Penundaan perlawanan kelayakan ini juga seperti memberi tuah buat Malaysia kerana seperti kita tahu, pemain utama negara, Safawi Rasid sedang mengalami kecederaan. Dengan baki tiga bulan ini, saya percaya Safawi akan sempat pulih dan bakal kembali menyarung jersi negara.

Saya cukup teruja untuk menyaksikan baki tiga aksi kelayakan nanti kerana Malaysia boleh menyenaraikan dua pemain naturalisasi terbaru iaitu Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi selepas permohonan mereka untuk mendapat kerakyatan Malaysia diterima oleh FIFA.

Dengan kehadiran dua pemain naturalisasi terbaru ini dan ditambah dengan kehadiran Mohamadou Sumareh sebelum ini, ini menjadikan Malaysia mempunyai tiga pemain naturalisasi dalam skuad negara.

Bercakap mengenai tiga pemain naturalisasi ini, Tan Cheng Hoe masih belum menyenaraikan Krasniqi ke kem latihan pusat pertama ini kerana masalah yang bakal dihadapi disebabkan tempoh kuarantin untuk masuk ke Malaysia dan kembali ke Australia.

Saya sempat menyaksikan aksi Krasniqi atau Mat Don ketika perlawanan bertemu Sydney FC dan Adelaide United. Apa yang saya boleh katakan, permainan beliau sungguh memukau walaupun beliau hanya bermain sebagai pemain gantian. Dengan prestasi beliau ketika ini, saya pasti beliau akan dipanggil untuk ke kem latihan pusat pada Mei nanti.

Bagi De Paula pula, walaupun prestasi beliau pada permulaan liga sedikit membimbangkan, namun beliau berjaya bangkit dengan berjaya menjaringkan dua gol ketika mewakili Perak FC bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super sebelum ini.

Sedikit kelegaan buat peminat skuad Harimau Malaya kerana mereka meletakkan harapan tinggi buat De Paula untuk menjadi penyerang utama skuad negara.

Bercerita mengenai Sumareh, saya cukup bimbang dengan status kecergasan pemain itu kerana nampaknya beliau masih belum cergas sepenuhnya.

Selepas beliau meninggalkan Pahang musim lalu, nampaknya permainan Sumareh agak merosot, tidak seperti musim 2019 ketika beliau banyak membantu Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2023/Asia 2023. Saya harapkan beliau mampu segera pulih dan kembali ke prestasi sebenar.

Jadi dengan kehadiran tiga pemain naturalisasi ini, saya mengharapkan mereka dapat bermain bersungguh-sungguh bagi membantu Malaysia layak ke pusingan seterusnya.

*Penulis adalah penyokong tegar skuad Harimau Malaya

Berita Harian X