Sabtu, 13 March 2021 | 10:11am
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola dalam satu perlawanan sebelum ini. - Foto ihsan Irish Sun
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola dalam satu perlawanan sebelum ini. - Foto ihsan Irish Sun

Empat teratas EPL, nasib Liverpool jadi tumpuan

KOLUM APA KATA EPL

Manchester City yang menghuni puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) kini mendahului jirannya, Manchester United dengan kelebihan 14 mata, selepas membelasah Southhampton 5-2 pada pertengahan minggu.

Selepas 29 aksi, skuad Pep Guardiola menghimpun 68 mata manakala United, 54 mata namun memiliki satu aksi dalam tangan. Kelebihan The Citezens akan bertambah kepada 17 jika menang ke atas Fulham awal pagi esok, berikutan Red Devils hanya beraksi 24 jam kemudian.

Dengan kedudukan yang sangat selesa ini, jelas peluang City untuk menjadi juara, merampas gelaran itu daripada Liverpool sukar disangkal lagi. Ketika ini skuad Jurgen Klopp ketinggalan sangat jauh - 25 mata di belakang City, sekali gus tiada harapan lagi mengekalkan kejuaraan.

Minggu ini, saingan di sambung lagi dengan dua perkara menarik untuk diperhatikan. Pertama berkaitan perebutan tempat untuk ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan dan nasib malang menimpa Liverpool.

Pertamanya, mengenai kedudukan Liverpool. Minggu lalu, The Reds tewas 0-1 kepada Fulham iaitu kali keenam berturut-turut di laman sendiri, sesuatu yang sangat mengejutkan kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.

Berikutan keputusan itu, skuad Klopp kini berkedudukan kelapan liga, tujuh mata di belakang kelompok empat teratas yang dihuni Chelsea dan bermain lebih satu perlawanan berbanding semua pencabar utama ke Liga Juara-Juara.

Berikutan itu, Klopp melaungkan betapa dia memerlukan `karya agung' bagi mencari penyelesaian krisis dihadapi kelabnya itu. Krisis kecederaan memainkan peranan utama masalah dihadapi pertahanan tengah Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip.

Pada pertengahan minggu ini, Liverpool mendapat tonik apabila mengenepikan RB Leipizig untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menang agregat 4-0. Selasa ini mereka bertemu Wolves. Mampukah Liverpool bangkit atau kena baham `serigala' dan terus kekal 'di gua'?

Dalam pada itu, perebutan empat teratas liga dilihat masih terbuka luas. Selain United, kelab lain yang masih berpeluang adalah Leicester City, Chelsea, West Ham, Everton dan Tottenham selain Liverpool.

Tempat keempat yang dihuni Chelsea ketika ini hanya dipisahkan dua mata dengan West Ham di tempat kelima, manakala Everton dan Tottenham yang menduduki tangga keenam dan ketujuh, dipisahkan lima serta enam mata.

Dengan saingan berbaki 10 perlawanan, nampaknya, setiap pasukan tidak boleh lagi tercicir mata jika ingin kekal dalam saingan memburu empat teratas. United, misalnya jika tewas dengan West Ham bakal dipintas Leicester yang dijangka mudah menjinakkan Sheffield malam esok.

Minggu ini, aksi tumpuan sudah pasti membabitkan Tottenham yang bakal berkunjung ke Emirates tengah malam esok. Anak buah Jose Mourinho yang yang menang 2-0 ke atas Dinamo Zagreb dalam saingan Liga Europa berdepan tugas berat apabila menghadapi The Gunners yang melakar kemanangan 3-1 ke atas Olympiakos di laman lawannya itu, kelmarin. Selamat menonton.

Ramalan minggu ini

Newcastle 1-2 Aston Villa

Leeds 1-1 Chelsea

C Palace 2-0 West Brom

Everton 2-0 Burnley

Fulham 0-4 Mancehester City

Southampton 1-1 Brighton

Leicester 3-1 Sheffield

Arsenal 1-1 Tottenham

Manchester United 2-1 West Ham

Wolves 2-1 Liverpool

Berita Harian X