Jumaat, 12 March 2021 | 11:14pm
Kpah Sherman (kanan) menjaringkan gol penyamaan buat Kedah ketika menentang Penang FC.
Kpah Sherman (kanan) menjaringkan gol penyamaan buat Kedah ketika menentang Penang FC.

Sherman selamatkan Kedah

KUALA LUMPUR: Jaringan lewat Kpah Sherman menjadi penyelamat Kedah Darul Aman FC (KDA) daripada dimalukan Penang FC apabila kedua-dua pasukan itu terikat 1-1, sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya itu, Penang yang juga pendatang baharu Liga Super berjaya mendahului seawal minit ke-11 hasil jaringan Endrick Dos Santos.

Kapten Penang itu bijak menggunakan kesempatan di depan gawang selepas penjaga gol Kedah, Shahril Sa'ari gagal menangkap kemas bola sepakan Casagrande.

Keadaan padang becak akibat hujan sebelum perlawanan tampak menjejaskan gerakan yang cuba dilakukan kedua-dua pasukan.

Selepas buntu mencari gol penyamaan, tindakan pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak membawa masuk Azamuddin Akil tampak berhasil apabila umpanan bekas pemain Pahang itu membolehkan Sherman menyamakan kedudukan buat Helang Merah pada minit ke-86.

Keputusan itu menyaksikan KDA dan Penang berkongsi empat mata selepas mengharungi tiga perlawanan musim ini dan menduduki tangga keempat serta kelima liga.

Berita Harian X