Rabu, 10 March 2021 | 8:35am
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo muram meninggalkan padang manakala pemain Porto gembira meraikan kejayaan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas berakhirnya aksi kedua kelompok 16 terbaik di Stadium Allianz, Turin.- Foto EPA.
Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo muram meninggalkan padang manakala pemain Porto gembira meraikan kejayaan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas berakhirnya aksi kedua kelompok 16 terbaik di Stadium Allianz, Turin.- Foto EPA.

Malang Juventus berulang dua musim berturut-turut

TURIN, Itali: Pasukan Cristiano Ronaldo, Juventus tersingkir di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara buat tahun kedua berturut-turut selepas tewas kepada Porto yang bermain 10 orang berdasarkan gol tempat lawan walaupun menang 3-2 di sini.

Gol menerusi sepakan percuma masa tambahan Sergio Oliveira menghantar juara dua kali, Porto ke suku akhir ketika saingan berakhir dengan agregat 4-4.

Mendahului 2-1 daripada perlawanan pertama di Portugal, penalti babak pertama Oliveira meningkatkan kelebihan Porto tetapi Juventus menyamakan kedudukan menerusi dua gol Federico Chiesa selepas penyerang Porto, Mehdi Taremi dilayangkan kad merah.

Oliveira kemudian meledak menerusi sepakan percuma pada minit ke-115 yang melepasi kaki Rolando manakala tandukan Adrien Rabiot menyamakan kedudukan buat Juventus.

"Apabila anda membuat empat kesilapan besar dalam dua perlawanan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, anda boleh tersingkir," kata jurulatih Juventus, Andrea Pirlo.

"Ia memerlukan beberapa hari untuk memadam perlawanan ini daripada minda, namun kami perlu bermain setiap perlawanan selepas ini dengan perwatakan yang betul, menyedari kami masih berada pada Mac dan ada masa untuk mendaki kedudukan Serie A."

Juventus berharap kepada penyerang Portugal, Ronaldo, yang memegang rekod jaringan terbanyak selain penyerang Sepanyol, Alvaro Morata, yang menjaringkan enam gol dalam saingan musim ini.

Namun kekecewaan Juventus dalam Liga Juara-Juara berterusan untuk tempoh 25 tahun, gagal dalam pusinbgan kalah mati pertama buat tahun kedua berturut-turut selepas tewas kepada Lyon musim lalu.

"Kerja kuat seluruh pasukan adalah penting untuk mara dan kami sememangnya layak," kata pertahanan veteran Porto, Pepe.

"Adalah sukar untuk menyatakan bagaimana kami berjaya melakukannya (bermain 10 orang). Hari ini kami menunjukkan perwatakan sebenar. Pemain memberikan fokus dan itu memudahkan kami."

- AFP

Berita Harian X