Isnin, 8 March 2021 | 10:42pm
Pengendali JDT, Benjamin Mora. - Foto ihsan HarimauSelatanTv.
Pengendali JDT, Benjamin Mora. - Foto ihsan HarimauSelatanTv.

Antara Rodriguez atau Bergson, siapa jadi pilihan Mora?

JOHOR BAHRU: Apakah pemain import baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva akan tersenarai dalam kesebelasan utama skuad itu apabila melayani kunjungan Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Atau pengendali skuad Harimau Selatan, Benjamin Mora akan memilih untuk terus mengekalkan Fernando Rodriguez mengemudi jentera serangan skuad Harimau Selatan berdepan skuad Harimau Kumbang itu?

"Kami akan tengok tahap kecergasan Bergson sama ada beliau bersedia diturunkan atau tidak. Rodriguez juga ada peluang diturunkan semula tapi kita perlu lihat sama ada dia mampu beraksi selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang berintensiti tinggi.

"Dia mengalami kecederaan, namun tidak serius dan kita akan pantau lagi kerana pada aksi menentang KDA FC sememangnya aksi yang begitu mencabar buat dirinya," katanya.

Mora juga tidak menafikan skuad kendalian Tomas Trucha memiliki barisan pemain yang mantap terutama di posisi serangan yang diterajui Casagrande yang boleh beri ancaman terhadap benteng skuad Harimau Selatan.

Katanya, status Penang FC selaku pendatang baharu dalam kancah liga elit domestik tidak boleh dipandang rendah selepas pasukan itu memulakan kempen liga dengan kemenanga 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC, Sabtu lalu.

Malah, pengendali dari Mexico itu, menegaskan persiapan yang lebih rapi akan dibuat JDT untuk berusaha mengekalkan momentum kemenangan selepas menang ke atas KDA FC 2-0 pada aksi Piala Sultan Ahmad Shah pada Jumaat lalu.

"Kemenangan ke atas KDA FC beri keyakinan buat setiap pemain untuk mengekalkan corak permainan yang ampuh. Tambah pula aksi kedua kita akan beraksi di laman sendiri dan tidak boleh melepaskan peluang untuk catat kemenangan.

"Kami tetap menghormati Penang FC kerana mereka memiliki kekuatan tersendiri. Bagi kesebelasan utama JDT yang akan diturunkan, saya akan pertaruhkan barisan terbaik dan pemain harus beri cabaran kepada diri sendiri untuk berdepan pasukan lawan, malam esok," kata Mora.

Berita Harian X