Sabtu, 6 March 2021 | 2:19pm
Barisan yang akan galas cabaran Selangor FC musim ini.
Barisan yang akan galas cabaran Selangor FC musim ini.

Selangor kena benam Pahang jika mahu cabar JDT

SELEPAS aksi sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) malam tadi, pertembungan dua lagi pasukan gergasi, Selangor dan Sri Pahang menjadi perlawanan tumpuan bagi pembukaan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini, Selangor dilihat memiliki kelebihan bagi membuktikan bahawa mereka antara pencabar untuk merampas kejuaraan Liga Super yang sudah tujuh musim berturut-turut menjadi milik JDT.

Melihat kepada rombakan yang dilakukan termasuk mengikat pengendali dari Jerman, Karsten Neitzel yang digembar-gemburkan sebelum ini bakal memperkenalkan corak permainan baharu atau DNA Jerman dalam skuad Red Giants.

Tidak cukup dengan itu, tindakan mereka membawa masuk beberapa pemain bintang termasuk bekas penyerang Perak, Shahrel Fikri Fauzi dan tiga import, Tim Heubach, Oliver Buff dan Manuel Konrad memberi gambaran awal bahawa Red Giants bakal tampil lebih garang.

Gandingan barisan pemain baharu itu bersama dua lagi pemain import termasuk pemenang Kasut Emas musim lalu, Ifedayo Omosuyi dan Safuwan Baharudin serta kapten baharu mereka, Brendan Gan boleh dianggap antara taruhan besar buat Selangor.

Justeru, aksi pertama berdepan skuad Tok Gajah bakal menjadi penilaian awal penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan mengenai sejauh mana DNA Jerman dan perbelanjaan besar yang dilakukan Selangor berjaya memberikan hasil kepada juara Piala Malaysia 33 kali itu.

Mungkin ada yang menganggap masih terlalu awal untuk menilai keupayaan Selangor kerana ia baru perlawanan pertama, namun aksi berdepan Sri Pahang cukup penting untuk membuktikan bahawa aura status gergasi bola sepak Malaysia sudah kembali dalam Red Giants.

Dianggap memiliki lebih banyak kelebihan berbanding Sri Pahang, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa hanya kemenangan yang akan meletakkan diri Selangor sebagai pencabar utama kepada JDT.

Apa yang pasti, walaupun Sri Pahang dianggap pasukan yang lebih 'sunyi' dalam melakukan persiapan musim ini, tugas berat tetap menanti Selangor kerana lawan mereka itu turut diletakkan dalam senarai sebagai pesaing Harimau Selatan.

Sementara itu, berita mengenai krisis kecederaan yang dihadapi Sri Pahang dengan beberapa tonggak utama termasuk Lee Tuck, Herold Goulon, Mamadou Wague, Pedro Henrique dan Hafiz Ramdan masih belum pasti dapat diturunkan tampak mencerahkan lagi peluang Selangor untuk menjayakan misi wajib menang.

Sama ada perkhabaran itu sekadar 'perangkap' yang cuba dipasang pengendali Pahang, Thomas Dooley, Neitzel bagaimanapun perlu mengambil sikap berhati-hati untuk berdepan Tok Gajah.

Selain Selangor dan Sri Pahang, pertemuan antara dua pendatang baharu Liga Super, Penang FC dan Kuala Lumpur City FC juga tampak menarik bagi aksi sulung liga utama tempatan.

Satu lagi pasukan dari Pantai Timur, Terengganu FC (TFC) dicanang mampu meraih kemenangan ke atas UiTM, sementara aksi Melaka United dan Sabah tampak sukar untuk diramal.

Ramalan

Selangor 2 Sri Pahang 0

Penang 1 KL City 1

UiTM 1 TFC 2

Melaka 1 Sabah 1

Berita Harian X