Sabtu, 6 March 2021 | 9:30am
Pemain tengah Manchester City, Kevin de Bruyne (kiri) dan Bruno Fernandes (Manchester United) bakal menjadi tumpuan pada aksi tetangga Manchester di Etihad minggu ini. - Foto ihsan Goal.com.
Pemain tengah Manchester City, Kevin de Bruyne (kiri) dan Bruno Fernandes (Manchester United) bakal menjadi tumpuan pada aksi tetangga Manchester di Etihad minggu ini. - Foto ihsan Goal.com.

Aksi tetangga Manchester bakal 'panas'

KOLUM APA KATA EPL

Dengan kelebihan 14 mata, jelas sukar untuk menyangkal peluang Manchester City bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini. Malah The Citizens boleh merampas gelaran itu dari Liverpool lebih awal sebelum saingan musim ini berakhir pada 23 Mei.

Jika mengikut perhitungan baki 11 perlawanan, skuad bimbingan Pep Guardiola hanya perlu menang minimum tujuh aksi saja lagi untuk dinobatkan juara. Selepas 27 perlawanan pada pertengahan minggu, City kini mendahului saingan liga dengan himpunan 65 mata.

Ia meninggalkan Manchester United di tempat kedua yang mengumpulkan 51 mata manakala Leicester City di tangga ketiga dengan 50 mata. Penyandang juara, Liverpool pula lagi jauh ketinggalan di tempat ketujuh dengan himpunan 43 mata, ketinggalan 22 mata di belakang City.

Sebelas perlawanan yang menanti City selepas ini adalah menentang United, Fulham, Southampton, Leicester City, Leeds United, Aston Villa, Crystal Palace, Chelsea, Newcastle, Brighton dan Everton.

Inilah yang menarik untuk kita saksikan. Persoalannya, adakah City boleh dihalang lagi oleh semua pasukan ini? Dengan 21 aksi tanpa kalah termasuk terakhir membenam Wolves 4-1 pada pertengahan minggu bagi sekali gus menyamai rekod kelab, skuad Guardiola benar-benar di atas landasan meraih kejuaraan.

Tengah malam esok, City akan menyambut kunjungan jirannya, United. Adakah United mampu mengecewakan pesta The Citizens di Etihad? Skuad Ole Gunnar Solskjaer bertandang dengan misi besar untuk mengutip mata penuh selepas tercicir enam mata berturut-turut sebelum ini.

Kegagalan meraih mata penuh dalam tiga aksi itu menyaksikan Red Devils kini hanya dipisahkan satu mata denga Leicester. Mereka tidak boleh seri lagi. Malah tewas juga bukan dalam kamus mereka kerana The Foxes dijangka mampu menjinakkan Brighton minggu ini.

City pula dilihat memiliki kelebihan untuk memenangi aksi tetangga Manchester ini jika mampu meneruskan rentak sebelumnya. Kemenangan sudah pasti akan menjarakkan lagi kedudukan mereka dan sekali gus akan lebih selesa untuk memenangi gelaran musim ini lebih awal.

Sementara itu, Chelsea berpeluang untuk terus berada dalam kelompok empat teratas apabila menyambut kunjungan Everton, Selasa ini. Namun ia dijangka bukan tugas mudah kerana lawannya itu hanya setakuk di bawah mereka.

The Blues tampil dengan motivasi tinggi selepas menundukkan Liverpool 1-0 di Anfield kelmarin, sekali gus mencerahkan peluang untuk memburu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan. Sentuhan Thomas Tuchel pastinya akan diuji oleh jurulatih veteran, Carlo Ancelotti.

Dalam aksi lain, Liverpool yang kian jelas terlepas kejuaraan liga musim ini, bakal menyambut kunjungan Fulham minggu ini. Kemenangan ke atas lawannya itu, adalah satu-satunya pilihan yang ada bagi mengubat kekecewaan skuad Jurgen Klopp. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Burnley 0-3 Arsenal

Sheffield 1-2 Southampton

Aston Villa 1-2 Wolves

Brighton 0-2 Leicester

West Brom 1-1 Newcastle

Liverpool 2-0 Fulham

Manchester City 0-0 Manchester United

Tottenham 3-0 Crystal Palace

Chelsea 1-0 Everton

West Ham 2-1 Leeds

Berita Harian X