Jumaat, 5 March 2021 | 10:24pm
Nik Akif Syahiran antara lima pemain yang menuntut Kelantan FC membayar tunggakan gaji.
Nik Akif Syahiran antara lima pemain yang menuntut Kelantan FC membayar tunggakan gaji.

Kelantan FC dapat surat 'saman' sebelum sepak mula

KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Perdana, Kelantan FC menerima tamparan hebat menjelang aksi pertama Liga Perdana menentang Perak II esok, apabila berdepan tuntutan tunggakan gaji daripada lima bekas pemain skuad itu.

Tuntutan yang dibuat Nazrin Nawi, Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Masaki Watanabe itu membabitkan tunggakan gaji bagi November tahun lalu berjumlah RM158,857.

Menerusi surat daripada peguam Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bertarikh 3 Mac 2021 dan dikongsikan Kelantan FC di Facebook kelab, semalam pasukan dari Pantai Timur itu diminta melunaskan bayaran berkenaan dalam tempoh 10 hari dari tarikh surat itu diterima.

Surat berkenaan turut menjelaskan terdapat perbincangan pengurangan gaji yang dimulakan pihak The Red Warriors (TRW) sebelum ini, namun pemain berkenaan tidak bersetuju dan sudah memberikan masa secukupnya untuk pasukan itu membuat pembayaran.

Sementara itu, unit undang-undang Kelantan FC dalam kenyataan di Facebook kelab juga memaklumkan pihak pengurusan pasukan itu sudah menelefon, menulis surat dan merayu kepada lima pemain berkenaan supaya menerima pengurangan gaji sebelum ini.

Jelasnya, pihak pengurusan The Red Warriors (TRW) yang baru sudah menyelesaikan tunggakan hutang pemain sebelum ini dan pasukan tiada pendapatan disebabkan pandemik COVID-19 kerana penonton tidak dibenarkan masuk ke stadium.

"Perlawanan terakhir pasukan Kelantan FC bagi bulan November juga hanya sekali iaitu pada 8 November 2020 dan adalah tidak adil bagi pemain lain yang sudah bersetuju dengan bayaran separuh gaji bagi November 2020.

"Walaupun benar, pihak pengurusan baharu perlu mengikut apa yang ada di dalam kontrak, pemain nampaknya lebih mementingkan diri sendiri tanpa ada timbang rasa sewajarnya.

"Pengurusan baru akan membayar apa yang perlu jika mereka ini tetap berkeras, termasuk meneliti hak pengurusan segi perundangan di bawah COVID-19.

"Diucapkan terima kasih pada semua bekas barisan kejurulatihan dan bekas pemain musim 2020 yang sudah menerima pembayaran gaji," jelas kenyataan unit undang-undang Kelantan FC.

Berita Harian X