Isnin, 1 March 2021 | 9:50pm
Presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) melancarkan jersi baharu Melaka United FC bersama Datuk Mohd Saiful Mat Sapri. - Foto ihsan MUFC.
Presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (kiri) melancarkan jersi baharu Melaka United FC bersama Datuk Mohd Saiful Mat Sapri. - Foto ihsan MUFC.

Melaka kekal warna hijau sebagai jersi utama

MELAKA: Melaka United Football Club (MUFC) mengekalkan warna hijau sebagai jersi utama pasukan berkenaan yang sinonim dengan skuad Hang Tuah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Majlis pelancaran jersi baharu berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, secara atas talian.

Sulaiman berkata musim ini MUFC menggunakan pakaian keluaran jenama sukan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd iaitu buat tahun yang kedua dengan warna hijau muda dipilih sebagai jersi tuan rumah.

Katanya, pemilihan berkenaan sekali gus mengekalkan warna tradisi yang sinonim dengan dengan pasukan terbabit, sementara jersi di tempat lawan pula berwarna kelabu dan bagi jersi ketiga bakal dilancarkan sekitar April bulan depan.

"Kita mengharapkan jersi baharu berkenaan mampu membangkitkan semangat pemain untuk memberikan terbaik sepanjang musim ini dalam melakar kejayaan gemilang.

"Dalam masa sama saya memohon penyokong untuk terus berdoa supaya rantaian pandemik COVID-19 bakal lenyap bagi membolehkan peminat kembali ke stadium memberikan sokongan padu buat pasukan," katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MUFC Sdn Bhd, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Berita Harian X