Rabu, 24 Februari 2021 | 9:41pm
Klopp dilaporkan akan meninggalkan Liverpool untuk kendalikan skuad Jerman.
Klopp dilaporkan akan meninggalkan Liverpool untuk kendalikan skuad Jerman.

Klopp bakal tinggalkan Liverpool

LONDON: Jurgen Klopp mungkin melangkah keluar dari Liverpool pada musim panas 2022 untuk mengendalikan pasukan kebangsaan Jerman, lapor akhbar BILD.

Pengendali berusia 53 tahun itu pada minggu lalu mengesahkan dia tidak mempunyai perancangan meninggalkan kelab dalam tempoh terdekat meskipun spekulasi bertiup kencang mengenai 'keretakan hubungannya bersama pemain' selain kesediaan Jerman untuk mempertimbangkan masa depannya. Akhbar Jerman itu turut mempersoalkan bilakah Klopp akan 'meninggalkan jejak' di Anfield berikutan empat kekalahan berturut-turut di laman sendiri meskipun kontraknya sehingga 2024.

BILD melaporkan, terdapat 68 peratus peluang untuk Klopp mengambilalih tugas pengurus Jerman ketika ini daripada Joachim Low selepas berakhirnya Piala Dunia di Qatar tahun depan.

Klopp dikatakan sudah jelas dengan perancangan yang dirinya akan kembali ke Jerman dan mengambil kira tempoh situasi dilalui, berkemungkinan dia akan meninggalkan Liverpool pada musim panas akan datang dengan mengambil kira peruntukan cuti enam bulan pada awal 2023.

Ini bakal menambah insentif buat Klopp untuk mengemudi Jerman yang bakal menjadi tuan rumah bagi kejohanan Eropah pada tahun berikutnya.

Akhbar itu turut tidak menolak kemungkinan Klopp akan melangkah keluar pada musim panas ini atas sebab ketidaktentuan COVID-19 dan posisi semasa kelab, namun penyokong dan pemilik Kumpulan Sukan Fenway masih menyokongnya dan ini bermakna, peratusannya itu mungkin kecil.

Klopp meraih pencapaian cemerlang di Liverpool sejak mengambil alih tugas dari Brendan Rodgers pada Oktober 2015. Dua tahun lalu, dia mengemudi pasukan untuk meraih gelaran Liga Juara-Juara sejak kali terakhir pada 2005 dengan menewaskan Tottenham pada pentas final di Madrid.

Dia turut membantu The Reds memenangi gelaran liga pertama sejak kali terakhir 30 tahun lalu, namun ia tampak sukar untuk mereka mempertahankan gelaran apabila ketika ini ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu Manchester City.

Klopp juga mengakui yang The Reds tidak mampu mempertahankan gelaran susulan kekalahan di tangan Leicester dua minggu lalu, namun bercakap kepada media minggu lalu, dengan menegaskan dia tidak mempunyai niat meninggalkan kelab meskipun prestasi The Reds di peringkat domestik merudum.

"Sama ada saya dipecat atau saya meninggalkan pasukan secara sukarela? Saya tidak perlu mendedahkannya," kata Klopp.

"Apa yang jelas, kami berdepan masa sukar, sudah berlanjutan dalam tempoh yang lama dan kami pasti dapat mengatasinya 100 peratus sebagai satu keluarga.

"Saya tidak rasa yang saya perlukan sokongan istimewa pada masa ini tetapi ia sesuatu yang bagus. Saya tidak perlu berehat. Saya sangat bertenaga. Saya dapat menyaksikan satu cabaran yang menarik. Kami akan menunjukkannya menerusi bola sepak, kami akan melalui secara bersama dengan berjuang dengan apa yang kami ada.

"Itu perancangannya. Tiada siapa yang harus bimbang dengan saya. Kami melakukannya untuk penyokong. Saya dapat merasakan tanggungjawab itu apabila perkara yang dirancang tidak berlangsung seperti diinginkan," katanya. - Agensi

Berita Harian X