Rabu, 24 Februari 2021 | 5:36pm
Aksi antara TFC II dan UiTM FC pada perlawanan Piala Bandaraya Shah Alam.
Aksi antara TFC II dan UiTM FC pada perlawanan Piala Bandaraya Shah Alam.

Tonik terbaik TFC II

KUALA TERENGGANU: Kejayaan pasukan berstatus 'feeder club', Terengganu FC II (TFC II) menjuarai Piala Bandaraya Shah Alam di Stadium UiTM Shah Alam, semalam dengan mengetepikan dua pasukan Liga Super menyuntik semangat pemain untuk menjadi pencabar utama menjelang aksi Liga Perdana bermula 6 Mac ini.

Malah, kejayaan dalam kejohanan tiga penjuru edisi sulung yang disertai tuan rumah, UiTM FC dan Sri Pahang disifatkan permulaan yang baik buat skuad The Turtles itu.

Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali yang memuji corak permainan anak buahnya yang berjaya melakar kejutan menjuarai kejohanan itu.

"Semangat kental yang dipamerkan pemain harus diberi pujian biarpun bersaing dengan skuad Liga Super yang dibarisi lima tonggak import berbanding hanya tiga import dimiliki pasukan TFC II.

"Buktinya ketika ketinggalan jaringan bertemu UiTM dan Sri Pahang, mereka bangkit semula untuk meledak jaringan, semangat melawan yang tinggi diperagakan pemain harus diberi pujian.

"Bagaimanapun sepanjang kejohanan itu, kami mengesan beberapa kelemahan individu dan berpasukan terutama ketika bertahan, ini harus diperbaiki segera kerana kita hanya berbaki 10 hari lagi menjelang perlawanan pertama.

"Saya harap pemain mampu tingkatkan prestasi masing-masing dan kekal positif sehinggalah perlawanan sebenar nanti bertemu Skuad Projek FAM - MSN di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 6 Mac," katanya.

Dalam perlawanan itu, TFC II yang turut mendapat sentuhan bekas penolong jurulatih pasukan Terengganu FC (TFC) musim lalu, Subri Sulong merakam keputusan seri dalam dua perlawanan bertemu The Lion Troops 1-1 dan Tok Gajah 2-2, semua jaringan dihasilkan penyerang import kelahiran Ghana, Jordan Mintah.

Kelebihan jaringan menyaksikan skuad itu muncul juara sulung dengan mengetepikan skuad kendalian jurulatih asing, Frank Bernhardt yang membimbing UiTM manakala Thomas Dooley mengemudi Sri Pahang. 

Musim lalu skuad yang dibimbing Roshadi Wahab melakar kejutan apabila berjaya menghuni di tangga kedua Liga Perdana di belakang Pulau Pinang, namun status pasukan pembangunan menyaksikan skuad itu tidak layak beraksi di pentas Liga Super.

Jumaat ini skuad itu bakal menguji Kelantan pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Berita Harian X